KAJANG - Empat beranak berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran di rumah kedai di Kampung Sungai Chua, di sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.28 pagi.
"Seramai 23 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, BBP Bangi dan BBP Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati satu unit rumah kedai dua tingkat terbakar di bahagian atas dan bawah sebelah kanan.
"Anggaran kemusnahan adalah 75 peratus, selain itu terdapat tiga unit kedai berkembar musnah terbakar 90 peratus," katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa berusia 27 tahun hingga 58 tahun terperangkap di belakang kedai berkenaan.
"Kita terpaksa menggunakan 'bolt cutter' untuk membuka pintu, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan.
"Suami mangsa dibawa ke Hospital Kajang dengan ambulans kerana mengalami sesak nafas, manakala ahli keluarganya pula tidak mengalami kecederaan," ujarnya.