Honda hilang dua tayar di kawasan parkir berbayar

Iklan
Tangkap layar video tular menunjukkan tayar belakang sebuah kereta jenis Honda City hilang dipercayai dicuri ketika diletakkan di kawasan parkir kenderaan berbayar.

LUMUT - Sebuah kereta hilang dua tayar dipercayai dicuri ketika diletakkan di kawasan parkir kenderaan berbayar berhampiran jeti di sini.

Kejadian itu hanya disedari pemilik kenderaan selepas dimaklumkan oleh rakan melalui panggilan telefon kira-kira jam 3 petang pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kes yang tular di media sosial itu melibatkan dua tayar belakang kereta jenis Honda City milik seorang lelaki.

Menurutnya, siasatan mendapati, semasa kejadian pemilik kereta berada di Pulau Pangkor dan telah meletakkan kenderaannya di kawasan itu sejak 14 November lalu.

Iklan

"Kejadian mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM2,000.

"Laporan polis telah dibuat dan usaha kini sedang digerakkan bagi mengesan suspek terlibat," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Hasbullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Roswani Mohd Desa melalui talian 011-55042061, Bilik Gerakan IPD Manjung 05-6886222 atau hotline WhatsApp 017-6828005 bagi membantu siasatan.

Pada Sabtu tular di media sosial video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki mendakwa dua tayar belakang Honda City miliknya termasuk rim telah dicuri.

Dalam rakaman tersebut, turut ditunjukkan suspek menggunakan jet tayar untuk mengangkat kenderaan bagi melakukan aktiviti tersebut.

Lelaki terbabit berkongsi rasa kecewa kerana telah membayar RM150 sebulan bagi tujuan parkir, namun aspek pengawasan tidak dititikberatkan sehingga berlaku kecurian.