KUALA LUMPUR - Seramai 17,216 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga menghadapi bencana ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, sebanyak 570 bot banjir, 460 lori, 905 pacuan empat roda, 317 van, 17 unit jet ski dan lapan pesawat udara serta 7,659 jaket keselamatan siap sedia digunakan mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana.
"Kita turut membahagikan pasukan bantuan tindak balas mengikut pecahan zon," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Mohamad Suzrin berkata, bagi zon utara, ia di bawah kawasan tanggungjawab Briged Utara yang meliputi kontinjen Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
"Zon tengah membabitkan Briged Tengah Pasukan Gerakan (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Wilayah 2 Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pengkalan Gerakan Udara Pengkalan Subang yang meliputi kontinjen Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
"Bagi zon timur pula, ia membabitkan Briged Tenggara PGA, Unit 6 PSP dan Wilayah Tiga Pasukan Polis Marin (PPM) yang meliputi kontinjen Pahang, Terengganu dan Kelantan," katanya.
Jelas beliau, untuk zon Sabah, Briged Sabah PGA, Wilayah 4 PPM, PGU Pengkalan Sabah akan digerakkan menghadapi MTL.
"Manakala di Sarawak membabitkan Briged Sarawak PGA, Wilayah 5 PPM dan PGU Pengkalan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga telah mengadakan mesyuarat kolaborasi bersama agensi tindak balas antaranya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
"Turut terlibat Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain-lain agensi telah diadakan di peringkat daerah dan kontinjen.
"Nadma juga sebagai peneraju utama pengurusan dan pengurangan risiko bencana telah memberikan kerjasama yang jitu dan komited bagi menghadapi MTL, tahun ini,” katanya.