ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri sentiasa mendengar kritikan dan keluhan rakyat terutama di media sosial mengenai rumah di Johor yang dilabelkan hanya mampu dilihat dan untuk golongan kayangan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya terbuka mengenai perkara itu dan pelbagai inisiatif telah dirangka termasuk menerusi Belanjawan Johor 2025.
"Kerajaan negeri ambil maklum akan pentingnya agenda perumahan dan berusaha memastikan impian setiap Bangsa Johor untuk memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan.
"Menerusi Belanjawan Johor 2025, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi mencapai sasaran menyediakan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2026.
"Sebanyak 13,461 unit rumah telah berjaya dibina sejak tahun 2022 hingga kini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, sebanyak 8,021 unit rumah lagi disasarkan untuk dibina dengan kerjasama kerajaan negeri dan pemaju swasta, pada tahun depan.
Selain itu, katanya terdapat inisiatif lain dalam menjayakan agenda perumahan termasuklah peruntukan RM225 juta untuk pembangunan 689 unit Rumah Residensi Bangsa Johor (RBJ).
"Peruntukan RM41.6 juta pula untuk penyelenggaraan fasiliti perumahan membabitkan lebih 14,000 unit di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan flat awam selain RM10 juta untuk Rejuvenasi Flat Awam.
"Johor juga memperuntukkan RM36.15 juta untuk pembangunan Rumah Kasih Johor (RKJ) dengan penyediaan 328 unit rumah baharu selain peruntukan RM14.15 juta bagi program baik pulih rumah yang akan memberi manfaat kepada 795 keluarga miskin dan miskin tegar.
"Kerajaan negeri juga menyediakan inisiatif Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) selain Program Rumah Prihatin Johor (RPJ) yang menawarkan rumah dengan harga serendah RM 55,000 seunit melalui subsidi dan bantuan infrastruktur," katanya.