KUALA LUMPUR - Kotor dan meloyakan, itu keadaan ruangan bilik di premis dipercayai menjadi sarang pelacuran dikesan menerusi serbuan Op Noda #KLStrikeForce sekitar Jalan Yew, Pudu pada Sabtu.
Premis dipercayai menjadi tumpuan 'lelaki hidung belang' untuk melampiaskan nafsu itu turut dilengkapi dengan pintu besi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Operasi bermula kira-kira jam 2.13 pagi itu menahan lapan individu berumur 20 hingga 63 tahun terdiri daripada enam wanita warga Indonesia dipercayai pelacur dan dua lelaki tempatan masing-masing bertindak sebagai pengurus pelacur dan penjaga premis.
"Turut dirampas 20 keping kondom, peket tisu basah, minyak serta tiub pelincir, tuala dan buku catatan," katanya pada Ahad.
Katanya, siasatan mendapati khidmat seks ini ditawarkan dengan kadar bayaran serendah RM60.
"Pelanggan didapati terdiri daripada warga tempatan serta asing dan siasatan mendapati purata pelanggan yang melanggani seorang pelacur antara lima hingga 10 orang.
"Selain itu, risikan sebelum ini mendapati kegiatan pelacuran ini beroperasi seawal jam 6 petang hingga 4 pagi pada setiap hari," katanya.
Menurutnya, kesemua individu ditahan untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 15 Akta Imigresen 1959/63," katanya.