GEORGE TOWN - Polis menerima tiga laporan berhubung kes perbuatan khianat yang dilakukan seorang lelaki selepas merosakkan dua motosikal berhampiran sebuah kondominium di Jalan Lembah Permai, Tanjong Tokong pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan polis mendapati kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 6 petang dan pihaknya telah mengenal pasti individu yang terlibat.
"Dalam kejadian itu, dua buah motosikal dan satu topi keledar telah dirosakkan oleh lelaki berkenaan.
"Kita telah kenal pasti identiti suspek dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Terdahulu tular satu klip video berdurasi 1.25 minit memaparkan perbuatan seorang lelaki berbaju biru yang membuat kecoh dengan merosakkan beberapa buah motosikal di kawasan parkir.
Lelaki berkenaan dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudiannya diserang seorang lelaki dengan menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan dia rebah.
Sementara itu, Abdul Rozak berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan dan menyiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit sehingga boleh menjejaskan siasatan.