Kedah bentang Belanjawan 2025 RM1.26 bilion

Iklan
Muhammad Sanusi menunjukkan buku Belanjawan Kedah 2025 di DUN Kedah, Wisma Darul Aman pada Ahad.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.26 bilion dengan jangkaan defisit 12.65 peratus atau RM99.9 juta.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus berjumlah RM889.9 juta dengan RM87.2 juta daripada jumlah itu adalah sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan adalah Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM82.84 juta dan Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM807.06 juta.

"Anggaran perbelanjaan ini meningkat sebanyak RM36.79 juta atau 4.3 peratus.

Iklan

"Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan emolumen penjawat awam susulan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula Disember 2024," katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Ahad.

Sanusi berkata, untuk anggaran perbelanjaan pembangunan pula, dicadangkan peruntukan bagi Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM209.8 juta.

Iklan

"Terdapat tiga anggaran peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan yang perlu diluluskan dengan jumlah keseluruhan RM461.25 juta. Tahun 2025 merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selain masih berbaki 10 tahun untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dengan visi Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni,” katanya.

Menurutnya lagi, Bajet 2025 juga mencadangkan Anggaran Pembangunan Hutan berjumlah RM4.56 juta dengan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM4.03 juta.

"Lebihan daripada kumpulan wang ini adalah sebanyak RM527,000.

"Terdapat perbezaan ketara jumlah peruntukan diluluskan pada 2025 berbanding 2024 kerana peruntukan bagi perbelanjaan Jabatan Hutan Negeri Kedah yang melibatkan peruntukan negeri dan terimaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri,” ujarnya.

Sanusi memaklumkan, sejumlah RM246.9 juta dicadangkan sebagai peruntukan di bawah Peruntukan Kumpulan Wang Perbelanjaan Bekalan Air.

"Ia meliputi RM300,000 daripada peruntukan Kerajaan Negeri dan RM246.6 juta daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi anggaran hasil 2025 pula, kerajaan negeri menganggarkan RM790 juta, peningkatan sebanyak RM42 juta berbanding anggaran hasil pada tahun 2024.

"Kita jangkakan peningkatan kutipan hasil berdasarkan prestasi semasa kutipan dan tindakan yang dilaksanakan di pelbagai peringkat melibatkan pemantauan kutipan hasil semasa, tunggakan hasil dan pemantauan terhadap ketirisan hasil oleh agensi utama kutipan hasil negeri,” ujarnya.

Sanusi jelaskan, pecahan hasil adalah hasil tanah sebanyak RM518.04 juta, pelbagai hasil (RM219.71 juta), hasil hutan sebanyak RM35.73 juta, serta hasil daerah RM16.52 juta.

"Bajet 2025 dirangka dengan meneruskan kesinambungan agenda membangunkan negeri berpaksikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah berlandaskan konsep Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua,” katanya.

Menurutnya, tema dan strategi Bajet 2025 ialah ERAT Sejahtera merangkumi ekonomi, rakyat, alam, tadbir urus dengan menetapkan empat strategi, 15 fokus serta 50 inisiatif utama.