WELLINGTON - Hanya berbekal kelapa dan air hujan, empat mangsa yang hanyut ditemui selamat di lautan Pasifik selepas lebih sebulan mereka berjuang untuk terus hidup.
Kepayahan itu menjadi pengalaman perit dua lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak perempuan berusia sekitar 12 tahun dari wilayah Bougainville, Papua New Guinea (PNG), yang dipercayai hanyut di lautan itu selama 32 hari.
Pada asalnya kumpulan itu terdiri daripada lapan orang termasuk seorang bayi yang belayar dari Bougainville bagi meraikan sambutan Hari Krismas di Pulau Carteret, sejauh kira-kira 100 kilometer (km), pada 22 Disember lalu.
Mangsa yang terselamat, Dominic Stally, berkata, bot mereka yang kecil itu ditenggelami air dengan sebilangan besar daripada mereka lemas.
Menurutnya, ada yang terselamat berjaya menaiki kapal, namun masih ada yang 'tewas' apabila terapung di laut dengan ombak kuat menimpa mereka.
"Kami tidak mampu berbuat apa-apa terhadap mayat mereka selain daripada melepaskannya ke laut.
"Terdapat satu pasangan yang lemas meninggalkan bayi mereka dan saya yang memegang bayi itu sebelum dia turut menemui ajal," lapor The Guardian.
Dalam pada itu, Stally berkata, walaupun beberapa kapal penangkap ikan melintasi laluan itu namun tidak menyedari mereka yang terapung di laut itu.
"Kami akhirnya diselamatkan pada 23 Januari di New Caledonia selepas terapung mengikut arus sejauh kira-kira 2,000 kilometer," katanya.
Empat mangsa tersebut kemudiannya dibawa ke ibu negeri Pulau Solomon, Honiara, Sabtu lalu dan diberi rawatan akibat dehidrasi sebelum diletakkan di bawah jagaan Pesuruhjaya Tinggi PNG, John Balavu.