[VIDEO] Ratusan mat rempit buat 'senaman malam' tolak motosikal

Iklan

SEREMBAN - Bukan setakat disaman, malah lebih 100 penunggang motosikal terpaksa melakukan 'senaman malam' dengan menolak motosikal kira-kira sejauh satu kilometer selepas dikepung di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini pada Ahad.

Operasi Khas Samseng Jalanan dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan bermula jam 2 pagi sehingga jam 5 pagi itu menyaksikan sebanyak 321 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Iklan
Iklan

Ketua JSPT Negeri Sembilan, Muhammad Zaki Ramat berkata, ia dilakukan susulan aduan diterima pihaknya berkenaan aktiviti samseng jalanan di situ terutama malam minggu.

Sebanyak 375 kenderaan diperiksa membabitkan 386 individu dalam Op Khas Samseng Jalanan.

"Kita telah terima aduan beberapa kali daripada orang awam yang terganggu dengan bunyi bising geng motosikal ini yang berlumba sesama mereka sambil mempamerkan aksi berbahaya.

Iklan

"Lagi pun di situ berhampiran kawasan perumahan dan kalau kita tengok mereka ini akan mula aktif sekitar jam 12 tengah malam hingga 3 pagi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ujarnya, kumpulan terbabit pada awalnya didapati datang ke Senawang untuk makan dan lepak tetapi mula teruja menguji kelajuan apabila berkonvoi untuk pulang.

Iklan

Tambahnya, mereka juga seronok untuk beraksi di laluan berkenaan kerana menganggap aksi mereka ditonton orang ramai.

"Kalau kita tengok orang ramai penuh di kedai-kedai makan di situ. Walaupun tak semua terlibat, tapi ada yang datang melihat aksi mat rempit ini.

"Ia sebenarnya boleh menggalakkan lagi aktiviti ini dan kita dapati ada yang sampai bawa kerusi 'healing' hanya untuk menonton aksi tersebut," katanya.

Operasi Khas Samseng Jalanan dilakukan JSPT Negeri Sembilan susulan aduan diterima daripada orang awam yang terganggu dengan bunyi bising geng motosikal.

Beliau berkata, sebanyak 375 kenderaan diperiksa membabitkan 386 individu yang kebanyakannya berusia antara 17 tahun hingga 25 tahun.

"Tiga lelaki termasuk seorang berusia 13 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108(3)(f).

"Dua daripada mereka didapati menunggang motosikal secara berbahaya apabila melakukan aksi 'wheelie' dan seorang lagi menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Menurutnya, kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi paling tinggi iaitu 69 kes diikuti tiada lesen memandu (49 kes) dan tiada cermin sisi (44 kes).

Selain itu katanya, operasi berkenaan membabitkan sembilan pegawai dan 85 anggota.