BN akan letak lebih ramai calon muda

Iklan
Ahmad Zahid (lima dari kanan) bersama pimpinan BN ketika hadir Konvensyen BN Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina pada Ahad.

IPOH - Barisan Nasional (BN) terus memberikan komitmen untuk meletakkan lebih ramai calon muda dalam kalangan Pemuda, Puteri dan Wanita pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak ada pilihan jika ingin menang pada pilihan raya selain mengemukakan calon-calon muka baharu terutama dalam kalangan golongan muda.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu berjaya dibuktikan dalam dua siri Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota yang dimenangi BN sebelum ini.

"Seseorang calon bukan hanya umurnya muda tetapi yang mempunyai pendedahan baik di peringkat akar umbi. Mereka akan memberikan kemenangan yang cukup bergaya.

Iklan

"Saya fikir bukan kita mahu menafikan orang-orang lama itu atau dipinggirkan tetapi mesti ada kombinasi yang baik antara lama dan yang baru," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Konvensyen BN Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy dan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ahmad Zahid berkata, kebanyakan pemimpin senior yang ada ketika ini dilantik ketika mereka masih muda.

Justeru katanya, peluang sama harus diberikan kepada pemimpin muda sekarang untuk menjadi calon.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan, Presiden UMNO itu menjelaskan ia akan diselesaikan di peringkat pimpinan tertinggi.

"Itulah yang akan kita lakukan (perbincangan mengenai pembahagian kerusi) dan mereka boleh mencadangkan tetapi kepercayaan mesti diberikan kepada kepimpinan atasan untuk menyantuni supaya tidak berlaku pertindihan.

"Perbincangan (pembahagian kerusi) akan mula apabila Parlimen dan DUN dibubarkan," katanya.

Ketika berucap dalam konvensyen itu, Ahmad Zahid menggesa anggota parti komponen BN bekerja keras untuk menebus semua kerusi yang tewas pada PRU lalu dengan bantuan rakan-rakan daripada Pakatan Harapan (PH).