SUNGAI BULOH - Tanah perkuburan mangsa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 di sini telah diwartakan secara rasmi sebagai tanah perkuburan bukan Islam.
Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (Pesawa) berkata, perkara itu telah dimaklum secara rasmi oleh Pejabat Tanah dan Daerah Gombak.
Menurutnya, kumpulan itu telah dilantik sebagai ejen pengurusan tapak berkenaan hasil usaha empat tahun untuk mendapatkan pengiktirafan itu.
"Pengiktirafan Tanah Perkuburan 13 Mei sebagai tapak perkuburan rasmi bukan Islam adalah hasil usaha bertahun-tahun oleh semua anggota kami bagi memenuhi harapan orang ramai.
"Perkembangan ini akhirnya meredakan kebimbangan mereka,” katanya memetik laporan MalaysiaKini pada Sabtu.
Tanah perkuburan itu terdapat 102 batu nisan mangsa pelbagai kaum dan agama termasuk dua berbangsa Melayu.
Laporan sama menyebut, Pesawa merancang untuk menambah baik kemudahan tanah perkuburan itu dan mengukuhkan kesedaran orang ramai tentang warisan sejarah dan budaya Malaysia.
Berkaitan kubur orang Islam yang dikebumikan di tapak itu, Pesawa memberitahu, perkara itu akan dibincangkan dengan pihak berkuasa.
Mei lalu, acara peringatan tahunan di tanah perkuburan itu mendapat kritikan susulan gambar seorang Muslim membaca doa di tanah perkuburan tersebut.
Pesawa menjelaskan tapak itu adalah tempat pengebumian penganut pelbagai agama, justeru jawatankuasa penganjur telah menjemput wakil Muslim, Buddha, Hindu, Tao, Kristian dan Katolik untuk membacakan doa pada majlis berkenaan.