KUALA LUMPUR - Keberanian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menyelamatkan rakannya daripada terus terkena renjatan elektrik telah melayakkannya menerima Anugerah Pingat Hang Tuah sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak 2024.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bunga Raya (1) Rawang, Selangor, Muhammad Asri Rosli berkata, kejadian pada 2 Oktober lalu itu masih terpahat di ingatannya.
Menurutnya, tindakan berani menyelamatkan sahabat baiknya, Syamil Faris Johari, 14, adalah disebabkan rasa kebertanggungjawaban sebagai seorang manusia.
"Kejadian berlaku ketika saya bersama-sama Syamil sedang bermain sepak takraw dan ketika itu bola tersebut memasuki ruangan bangunan sekolah.
"Syamil mahu mengambil bola tersebut, namun tergelincir dan terpegang pagar besi yang ada berhampiran tangga. Ketika itu Syamil terkena renjatan elektrik dan menjerit meminta pertolongan.
"Saya tanpa berlengah terus pergi ke arah Syamil dan membantunya. Saya tak takut (terkena renjatan elektrik), tapi lebih takut kalau tak buat apa-apa untuk bantu Syamil,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai perasaan menerima anugerah tersebut, Muhammad Asri memaklumkan bahawa dia sama sekali tidak menyangka diberi penghargaan sedemikian.
Dia berharap anugerah tersebut mampu membuka mata ramai anak muda agar sentiasa membuat kebaikan tanpa mengharapkan balasan.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Asri, Zuraini Harun, 49, berkata, dia begitu berbangga kerana anaknya sanggup melakukan perkara yang membahayakan diri demi menyelamatkan nyawa orang lain.
"Walaupun anak saya juga terkena renjatan elektrik tetapi dia tak teruk seperti rakannya. Pun begitu, kami sekeluarga tidak ambil mudah kejadian itu.
"Kami bawa Muhammad Asri ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah, doktor maklumkan tiada apa-apa yang serius berlaku kepada Muhammad Asri,” ujarnya.