IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menaikkan kadar cukai taksiran secara mendadak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan proses penilaian semula cukai taksiran mesti mementingkan kebajikan rakyat.
Menurutnya, perubahan kadar cukai taksiran secara mendadak boleh menyebabkan rakyat terbeban.
"Oleh itu, kerajaan mencadangkan kenaikan cukai dilakukan secara beransur-ansur dan mengambil kira kadar inflasi semasa, contohnya peningkatan sebanyak 2 hingga 5 peratus sahaja setiap dua tahun.
"Pendekatan ini telah berjaya di Pulau Pinang, di mana kadar kenaikan kecil tetapi konsisten telah menerima sambutan baik daripada rakyat. Saya yakin Ipoh juga boleh mengkaji dan mengambil pendekatan serupa agar rakyat tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, isu cukai taksiran tersebut telah dibangkitkan dalam Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan kebelakangan ini.
Katanya, semua bantahan dan maklum balas akan diteliti untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah adil.
Terdahulu Kor Ming hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Pokok Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Wei Dat Steel Wire Sdn Bhd di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini pada Ahad.
Sinar Harian pada 19 November lalu melaporkan Badan Bertindak Bantah Cukai Ipoh mahu lebih banyak persatuan penduduk tampil menyuarakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran oleh MBI yang bakal dilaksanakan tahun hadapan.
Suara bantahan diperlukan agar PBT terbabit boleh melakukan semak dan imbang sebelum kadar baharu diluluskan.
Pada minggu lalu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan, keputusan sama ada mengekal atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI adalah bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.
Susulan itu, Badan Bertindak Bantah Cukai Ipoh menerima dan menghantar lebih 3,000 surat bantahan dikemukakan warga bandar raya Ipoh yang tidak bersetuju dengan kadar baharu cukai berkenaan.