SHAH ALAM - Program mentor mentee perlu diwujudkan kepada anggota polis baharu untuk menjadikan golongan itu lebih bersiap-sedia menolak rasuah yang mungkin didepani ketika bertugas kelak.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, anggota baharu digalakkan menjalani program tersebut dan diletakkan di bawah mentor yang terdiri daripada pegawai hebat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Mereka harus berguru dengan mentor (pegawai) yang bertanggungjawab untuk mendapat cerminan dan membentuk perilaku cemerlang seterusnya menjadi anggota berintegriti.
"Bukan itu sahaja, polis baharu juga perlu dididik sehingga mereka kebal daripada hasutan anggota lain yang bermasalah dan mungkin mengamalkan rasuah. Jika tidak segala pentauliahan adalah sia-sia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan anggota polis baharu agar tidak terlibat dengan sebarang bentuk salah laku termasuk rasuah apabila mula bekerja nanti.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Jumaat yang melibatkan seramai 1,747 pelatih PLAK terdiri daripada 339 Inspektor; 293 Sarjan dan 1115 Konstabel.
Dalam pada itu, Nor Halmey memaklumkan, beliau percaya anggota baharu tersebut sangat berintegriti dan berdisiplin sehingga melayakkan diri ditauliah.
Mengulas mengenai kebarangkalian individu itu terpengaruh dengan jenayah rasuah, beliau berkata, peratusannya besar kerana majoriti adalah golongan muda yang senang digelapkan mata dengan kesenangan wang ringgit.
"Jadi sebab itu perlu terus-menerus melakukan amalan baik tidak kira di mana, barulah perkhidmatan mereka kemudian hari nanti diberkati.
"Perlakuan ini juga adalah salah satu cara untuk menjadi penyelamat dan mengembalikan kepercayaan kepada masyarakat berkenaan kredibiliti pasukan PDRM terutamanya dalam mengendalikan jenayah rasuah,” ujarnya.