IPOH - Srikandi Bersatu Ipoh Timor akan meneruskan program Jejak Asnaf dalam usaha membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Ketuanya, Titin Liyana Buhaiqi Amin berkata, program berkenaan secara keseluruhannya adalah dalam kategori Siri 1 dan akan memberikan tumpuan di kawasan Parlimen Ipoh Timor.
Menurut Titin Liyana, pihaknya telah pun berkunjung ke beberapa rumah dalam kawasan dalam Parlimen berkenaan bagi menemui sendiri golongan asnaf berkenaan.
"Bagi program Jejak Asnaf Siri 1 ini, kita dah pergi jumpa beberapa asnaf.
"Hari ini bersama dengan Kelab Belia Komuniti Kampung Pasir Puteh, kita berkunjung ke salah satu rumah asnaf di kawasan Ipoh Timor dan kita dapati rumah ni sangat daif dan perlukan bantuan.
"Jadi, kami akan berbincang dan lihat apa serta pertolongan bagaimana yang diperlukan," katanya.
Titin Liyana berkata demikian ketika mengunjungi sebuah rumah yang didiami oleh pasangan adik beradik Meor Abdullah Taharim, 40, serta adiknya Nor Izatul Fatiha Taharim, 38, petang tadi.
Difahamkan, Meor Abdullah yang juga seorang autisme manakala adiknya, Nor Izatul Fatiha yang tergolong dalam kategori orang kelainan upaya (OKU) yang tinggal berdua di rumah peninggalan keluarga itu sejak kematian ibu mereka, 14 tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Srikandi Bersatu Perak, Puteri Holijah Muhamad Rali berkata, pihak Srikandi Bersatu akan datang membantu bagi membersihkan rumah pasangan adik beradik berkenaan setelah selesai urusan PRK Cameron Highlands, kelak.
"Insya-ALLAH, kita juga akan bawa perkara ini ke pengetahuan Menteri Besar selepas ini dan semoga ada pihak yang boleh membantu," katanya.