Suspek samun wanita guna gunting diberkas

Iklan
Antara barang yang dirampas bagi membantu siasatan.

SUBANG JAYA - Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjatakan gunting di sebuah rumah di Puchong Utama di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga asing berhubung kejadian itu.

Iklan
Iklan

"Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, suspek memasuki rumah tersebut melalui pintu depan yang tidak berkunci.

Keadaan di lokasi kejadian samun di Puchong Utama pada Sabtu.

"Pengadu menjerit meminta tolong, menyebabkan suspek memasukkan baju ke dalam mulut mangsa dan mengikat tangannya dengan kain," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, suspek kemudian menyelongkar keseluruhan rumah dan mengambil beberapa barang berharga.

"Suspek melarikan satu bentuk cincin emas, wang tunai RM600 dan satu telefon bimbit jenis Oppo A59 warna hitam dengan anggaran kerugian RM2,500," katanya.

Iklan

Menurutnya, susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Bukit Puchong berjaya memberkas suspek dan merampas barang kes di Taman Puchong Permai jam 2 pagi pada Ahad.

"Suspek direman enam hari bermula Ahad hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 / 397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178," katanya.