Sekampung meriahkan pertandingan 'ngail' joran tradisional

Iklan
Seramai 260 penduduk memeriahkan pertandingan yang diadakan di Kampung Paya Lima Amas, Bukit Tunggal di Kuala Nerus.

KUALA NERUS - Musim tengkujuh kali ini dimeriahkan dengan pertandingan 'ngail' menggunakan joran tradisional yang diadakan di kawasan tali air Kampung Paya Lima Amas, Batu 6, Bukit Tunggal di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid berkata, pertandingan kali ketiga diadakan di kampung berkenaan mendapat sambutan hangat dengan penyertaan seramai 260 orang penduduk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun diadakan ketika cuaca hujan, penduduk kampung terdiri daripada pelbagai lapisan usia tetap hadir memeriahkan aktiviti tersebut.

Sebahagian peserta yang menyertai pertandingan ngail tradisional di Kampung Paya Lima Amas, Bukit Tunggal di Kuala Nerus.

"Saya difahamkan program ini diadakan saban tahun dan kali ini kita bersyukur kerana ia mendapat sambutan hangat dengan jumlah penyertaan melebihi penganjuran pada tahun lepas.

Iklan

"Kita di peringkat DUN akan terus memberikan sokongan kepada program-program yang melibatkan seramai mungkin masyarakat di kawasan DUN ini," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Paya Lima Amas diadakan pada Jumaat lalu bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Iklan

Antara ikan yang berjaya dinaikkan peserta ialah ikan keli, puyu, haruan dan beberapa spesies ikan air tawar atau digelar 'ikan darat'.

Sebahagian peserta termasuk juara, naib juara dan tempat ketiga merakam gambar bersama ADUN Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Paya Lima Amas, Ibrahim Harun berkata, antara syarat pertandingan peserta hanya perlu menggunakan joran tradisional seperti kayu atau buluh.

Katanya, penyertaan yang menggunakan joran dibeli dari kedai secara automatik akan terbatal.

Ibrahim memberitahu, selain mendapat ikan sebagai hasil tangkapan, terdapat pelbagai hadiah misteri yang dimenangi peserta.

"Kita sediakan lebih 40 hadiah cabutan bertuah dengan hadiah berupa buah-buahan, ikan laut, ubi, beras, kupon makanan bagi pembelian di kedai dan pelbagai lagi.

"Kita juga menyediakan makanan dan rawatan percuma sepanjang program ini berlangsung.

"Sambutan diterima untuk pertandingan memancing kali ini amat menggalakkan malah ia disertai pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan parti," katanya.

Tambah beliau, johan pertandingan itu membawa pulang wang tunai RM300, tempat kedua (RM200) dan tempat ketiga (RM100).