Ahmad Zahid puas hati prestasi menteri, timbalan menteri BN dalam Kerajaan Perpaduan

Iklan
Ahmad Zahid ketika berucap pada Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau berpuas hati dengan prestasi menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) yang berada dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, biarpun sesetengah pihak menganggap kehadiran BN dalam kerajaan sekadar pelengkap namun kesemua tujuh menteri BN dan beberapa timbalan menteri itu tetap fokus menjalankan tugas demi negara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata keutuhan BN menerusi hubungan pemimpin dalam kalangan parti komponen juga amat baik dengan kesemuanya mendukung perjuangan gabungan itu.

"Ini yang kita mahu, biarpun ada wakil daripada BN ini menjadi timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan walhal dalam kerajaan dahulu pernah jadi menteri, tapi tak kisah dan tidak tunjuk putus asa, tetap bekerja,” katanya dalam ucapan pada Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Iklan

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap semua anggota BN terus mengambil pendekatan melihat ke hadapan seterusnya memperkukuh semula gabungan itu yang menginjak usia 50 tahun penubuhannya tahun ini.

"Prestasi baik, pimpinan komponen pun cukup bersatu ketika ini, jadi saya harap dalam keadaan sekarang ini, cukup-cukup kita timbulkan masalah dalaman, lupakan titik bengik antara kita semua dan teruskan berpadu.

Iklan

"Kita harus dominan pada pilihan raya akan datang, jadi bersatulah, jika kita ada masalah dalaman baik UMNO, MCA, MIC, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) malah Friends of BN, selesaikan (secara) dalaman, jangan bergaduh di khalayak," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, BN akan berunding dengan rakan di dalam Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan bagi Pilihan Raya Umum ke-16 kelak.

Ketika ini BN menguasai satu kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan menerusi Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Parlimen Titiwangsa.