Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun

Iklan
Ahmad Nawab

[DIKEMAS KINI] Legenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak pada petang Ahad di usia 92 tahun.

Perkara berkenaan disahkan anaknya, Nasir Nawab sebentar tadi.

Iklan
Iklan

"Betul, bapa saya baru meninggal dunia di rumah kira-kira 3.15 petang tadi akibat sesak nafas," katanya kepada sebuah portal berita pada Ahad.

Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun dan dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006 iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.

Iklan

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Ahmad Nawab menggubah lagu Malaysia Truly Asia dendangan Khadijah yang dianggap dendangan ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.

Iklan

Allahyarham yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000.

Allahyarham yang melahirkan nama besar dunia seni suara seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram, adalah dalam kalangan 839 tokoh serta individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2023 daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.