Polis rampas serbuk ekstasi lebih RM600,000, tahan lelaki tempatan

Iklan
Polis menahan seorang lelaki dan merampas 3.98 kilogram serbuk ekstasi bernilai RM665,578 dalam serbuan di dua rumah di Taman Abad dan Taman Sentosa di sini, Selasa lepas. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Raub)

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 3.98 kilogram serbuk ekstasi bernilai RM665,578 dalam serbuan di dua rumah di Taman Abad dan Taman Sentosa di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 40 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan secara bersendirian dengan rumah berkenaan dijadikan lokasi untuk membungkus dadah yang dibeli dalam bentuk pukal.

Iklan
Iklan

"Dadah yang dibungkus semula dijual pada harga RM200 hingga RM300, (namun) dari mana dadah itu diperoleh, ia masih dalam siasatan kita,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua serbuk ekstasi yang dirampas itu dijual dalam bungkusan minuman, gula-gula dan racun serangga bagi mengaburi pihak berkuasa, dengan suspek dipercayai aktif dalam kegiatan itu sejak September lepas di sekitar daerah ini.

Iklan

Raub berkata, turut dirampas sebuah kereta jenis Honda Accord, seutas jam tangan serta wang tunai RM220.

Lelaki terbabit yang positif terhadap dadah jenis methamphetamine dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, katanya kini direman hingga 26 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Iklan