Fahmi ucap takziah buat keluarga Ahmad Nawab

Iklan
Hantaran ucapan takziah Fahmi Fadzil buat keluarga Ahmad Nawab di Facebooknya pada Ahad

[DIKEMAS KINI] MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga komposer terkenal Tan Sri Dr Ahmad Nawab yang meninggal dunia petang tadi.

Fahmi dalam hantaran di Faceboook menyifatkan pemergian Seniman Negara itu atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan sebagai kehilangan sebutir permata yang tidak ternilai harganya.

Iklan
Iklan

"Sumbangan Allahyarham dalam bidang berkenaan terlalu besar. Sejak era 1950an, beliau telah menggubah lebih 2,000 lagu, menghasilkan lebih 200 album dan melahirkan ramai nama besar dunia seni suara.

"Allahyarham pernah berkhidmat dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 17 tahun, selain dianugerahkan gelaran Seniman Negara ketujuh pada 2006. Kehilangan ini pastinya sangat dirasai, bukan sahaja oleh penggiat industri, tetapi juga peminat, serta pendengar muzik tempatan amnya,” katanya.

Iklan

Allahyarham meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat sakit tua kira-kira jam 3.15 petang tadi di kediamannya di Taman Melewar, Gombak dekat sini hari ini.

Berita pemergian Ahmad Nawab disahkan cucunya Teh Suraya Nasir Khan ketika dihubungi Bernama.

Iklan

Teh Suraya berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak di sini.

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia termasuk Uji Rashid, Datuk Khatijah Ibrahim, Sudirman, Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Allahyarham turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sastera daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2000.

Allahyarham Ahmad Nawab tokoh legenda industri muzik - Senimam

Dalam pada itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyifatkan komposer terkenal Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab sebagai tokoh legenda industri muzik yang berpengalaman luas di peringkat tempatan dan serantau.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, pemergian Allahyarham akibat sakit tua di kediamannya di Gombak, di sini hari ini, amat mendukacitakan dan dirasai seluruh penggiat industri muzik dan filem negara.

"Kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah dan kami mendoakan agar arwah ditempatkan di syurga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Ahmad Nawab yang lahir di Pulau Pinang pada 1932, merupakan seorang komposer yang aktif dalam penggubahan lagu sehingga ke akhir hayatnya. - Bernama