Banjir: Melaka pulih, Terengganu semakin baik, Johor dan Kelantan tidak banyak berubah

Iklan
Keadaan Kampung Bendang Perol yang dinaiki air ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Melaka pulih sepenuhnya manakala jumlah mangsa di Terengganu semakin berkurang sementara Johor dan Kelantan tidak menunjukkan banyak perubahan setakat malam ini.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Bencana negeri memaklumkan kedua-dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 dan Japerun Pantai Kundur yang menempatkan 220 mangsa daripada 60 keluarga telah ditutup dan kesemua mangsa dibenarkan pulang petang tadi.

Iklan
Iklan

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memaklumkan situasi bencana semakin baik dengan jumlah mangsa yang berlindung di PPS menurun mendadak kepada 67 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 227 mangsa, pagi tadi.

Ini termasuk 57 mangsa daripada 13 keluarga di dua PPS di Marang, iaitu SK Simpang Rawai dan Dewan Sivik Mercang manakala di Dungun sebanyak 10 mangsa daripada dua keluarga berteduh di PPS Balairaya Alor Mak Bah.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri JOHOR Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 28 orang hingga 8 malam ini, berbanding hanya 11 orang pagi tadi membabitkan daerah Segamat di PPS Balai Raya Batu Badak.

Azmi turut memaklumkan paras Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak melepasi paras amaran.

Iklan

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 76 orang melibatkan 19 keluarga di dua PPS iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok sebanyak 44 mangsa dan SK Gual To'Deh, Pasir Mas, 32 orang.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat sedikit kepada 8.75 meter setakat 7.35 malam ini, berbanding 8.73 meter pagi tadi, melepasi paras amaran lapan meter. - Bernama