GAZA CITY - Lebih 1,000 doktor dan jururawat terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak tahun lepas, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.
"Lebih 310 anggota perubatan pula ditangkap, diseksa dan dihukum mati di penjara," kata pejabat media kerajaan Gaza dalam satu kenyataan.
Tentera Israel turut menghalang kemasukan bekalan perubatan, delegasi kesihatan dan ratusan pakar bedah ke Gaza, menurut kenyataan itu.
Pejabat media itu mendakwa tentera Israel secara sistematik menyasarkan hospital sebagai sebahagian rancangan terancang untuk meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan di Gaza.
"Hospital menjadi sasaran tentera Israel, yang mengebom, mengepung dan menyerbu fasiliti kesihatan itu, membunuh doktor dan jururawat, serta mencederakan yang lain selepas disasarkan secara langsung," menurut kenyataan itu.
Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiya cedera dalam serangan udara Israel ke atas fasiliti itu dan kawasan sekitarnya di utara Gaza pada Sabtu.
Israel melancarkan serangan dan melakukan genosid ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu, mengorbankan lebih 44,200 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 104,500 yang lain.
Tahun kedua genosid di Gaza mencetuskan kecaman antarabangsa yang semakin meluas, dengan pelbagai pihak dan institusi melabelkan serangan serta sekatan penghantaran bantuan sebagai usaha sengaja untuk memusnahkan sebuah populasi.
Pada Khamis, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas Gaza. - Bernama