'Kalau tiada sarapan ini, saya mungkin berlapar'

Iklan
Agihan sarapan percuma dilaksanakan pada setiap Jumaat.

KUANTAN -"Kalau tiada sarapan ini, saya mungkin terpaksa berlapar," luahan seorang penerima makanan dalam Projek Breakfast for Free (BFF) membuatkan seorang sukarelawan nekad untuk meneruskan inisiatif murni ini pada setiap Jumaat.

Noordeyana Mohd Rashdi, 41, berkata, kata-kata tersebut memberikan semangat dan kekuatan kepadanya untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik di daerah ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kini hampir 12 tahun projek itu digerakkan, namun wanita bertubuh kecil ini tidak pernah gagal untuk menggembirakan masyarakat, meskipun hanya dengan sebungkus makanan.

Noordeyana dan kumpulan Projek Jalinan Kasih bergambar beramai-ramai di Taman Kerang.

"Bantuan sarapan pagi ini bukan sekadar untuk mengisi perut, tetapi juga memberi harapan kepada mereka yang memerlukan agar mereka dapat memulakan hari dengan tenaga dan semangat," katanya ketika ditemui di Bandaraya Kuantan pada Ahad.

Iklan

Ibu kepada empat anak ini memberitahu, usaha memperkenalkan BFF bermula dengan hanya 20 bungkus nasi lemak diserahkan secara rambang sahaja kepada mereka yang berada di sekitar kawasan letak kenderaan di Taman Kerang dan Hentian Bas Pokok Buluh di sini.

Jelasnya, pada ketika itu, Noordeyana bertemankan suami, Ahmad Aizat Yahaya Ariff, 43, untuk menggerakkan projek itu tanpa rasa malu.

Iklan
Noordeyana bersama kumpulan Projek Jalinan Kasih bagi agihan sarapan pagi percuma kepada masyarakat di Kuantan.

Noordeyana menambah, namun usaha yang dilakukan itu akhirnya diterima, malah masyarakat kini mula menanti-nanti pemberian makanan percuma pada setiap Jumaat.

"Pada awal-awal dulu memang orang agak hairan kenapa saya berbuat demikian. Tapi, Alhamdulillah selepas saya jelaskan, mereka boleh terima dan tidak lagi salah anggap terhadap niat saya dan suami.

"Jadi, usaha kecil itu (bermula 20 bungkus makanan) kini berkembang menjadi agihan mencecah lebih 150 bungkusan makanan setiap minggu," katanya yang mendapat sumbangkan makanan dari kumpulan Projek Jalinan Kasih dan rakan media sosial Facebook selain individu tidak dikenali turut berbuat demikian.

Bercerita lanjut, Noordeyana mengaku tidak pernah membezakan status, bangsa, atau agama dalam projek BFF ini.

Sebaliknya, sesiapa sahaja yang berada di kawasan agihan dialu-alukan untuk mengambil makanan yang disediakan.

Bagaimanapun, Noordeyana memberitahu, bagi mereka yang sudah lama mengenali usaha ini, Jumaat pagi di Hentian Bas Pokok Buluh menjadi saat dinanti-nantikan.

"Saya sering melihat mereka yang menunggu setiap minggu, dan saya tahu, jika tiada makanan, mereka akan kecewa.

"Sebab itu, kami berusaha memastikan bekalan mencukupi,” katanya yang memiliki 10 sukarelawan dari tim projek Jalinan Kasih membantu membuat agihan.

Ditanya mengenai motivasinya untuk melaksanakan projek ini, Noordeyana menjelaskan dia sentiasa mengingat pesan gurunya agar sentiasa berusaha menggembirakan orang lain dengan cara apapun.

"Kata guru saya, apabila kita bagi orang makan, ajak orang lain turut serta, malah gembirakan mereka rezeki kita kongsikan, maka ALLAH SWT akan gembirakan kita dengan cara-Nya dan izin-Nya pula.

"Di sini saya dididik untuk mengenal masyarakat sekeliling. Saya cuma mahu gembirakan orang dengan kenyangkan perut mereka," katanya.

Tidak sekadar sarapan Jumaat, Noordeyana juga aktif menganjurkan agihan besar-besaran sempena Maulidur Rasul setiap tahun.

Sehubungan itu, Noordeyana turut menghargai bantuan daripada rakan media sosial dan individu lain yang menyumbang makanan atau dana.

Baginya, usaha ini adalah peluang untuk membina ukhuwah dan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk melakukan kebaikan.

"Alhamdulillah sehingga hari ini projek masih berjalan lancar menerusi sumbangan sahabat-sahabat dan orang ramai yang sudi berinfaq," luahnya dengan nada gembira.