Sos pencicah Neeza semakin kukuh di pasaran

Iklan
Zainiza menunjukkan sos pencicah yang dihasilkan di bengkelnya di Machang.

MACHANG - Hasrat mahu membantu suami membangunkan ekonomi institusi pengajian Pondok Hidayah II di sini, menjadi titik mula seorang suri rumah menceburi dunia perniagaan sos pencicah.

Siapa sangka, langkah berani yang diambil Zainiza Daud, 51, membuahkan hasil sehingga membolehkan dia menyumbang secara tetap sekitar 10 hingga 20 peratus hasil jualan setiap bulan kepada pondok di bawah kendalian suaminya yang juga mudir, Ghazali Isa, 64.

Iklan
Iklan

Menceritakan pembabitan awal, Zainiza berkata, mereka mengharungi cabaran getir dalam menggalas tanggungjawab untuk meneruskan pengoperasian pondok tersebut.

Zainiza menunjukkan anugerah dan sijil kemenangan yang diperoleh sepanjang bergelar usahawan.

Menurutnya, sehinggalah pada 2001, pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) datang ke Pondok Hidayah II untuk mengadakan program bagi memperkasa ekonomi penghuninya.

Iklan

"Selepas diberi tunjuk ajar sebanyak tiga sesi, saya bersama tiga penghuni wanita membuat percubaan berkongsi modal RM20 setiap seorang bagi memulakan langkah pertama membeli bahan mentah, cili, gula dan cuka untuk memproses sos pencicah.

"Rakan niaga bagaimanapun tak dapat bertahan kerana faktor modal dan akhirnya saya seorang meneruskan perniagaan ini daripada permulaan tiga dozen botol sos pencicah dihasilkan kepada 23 dozen botol setiap kali pemprosesan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan
Zainiza turut menerima lawatan orang ramai di bengkelnya.

Jelasnya, dia kemudian perlahan-lahan belajar mempelbagaikan produk iaitu sos cili, sos pencicah lada kering dan sos pencicah lada segar, selain turut menghasilkan produk cuka makanan di bawah label Neeza.

Sepanjang 22 tahun menjalankan perniagaan tersebut, Zainiza mengakui sentiasa berdepan cabaran, bahkan sehingga kini dia masih bergelut dengan kaedah pengisian sos pencicah ke dalam botol secara manual menggunakan tenaga manusia.

"Saya ada mesin pengisar dan merebus lada tetapi tidak mempunyai mesin untuk mengisi sos ke dalam botol.

"Jadi, kalau ada yang datang melawat bengkel mini memproses sos saya di sini, memang rasa malu juga tetapi bagi saya ia bukanlah halangan besar untuk saya berjaya walaupun masih mengisi sos menggunakan kudrat sendiri,” katanya.

Menurut Zainiza, dia kini berjaya memasarkan produknya di seluruh kedai runcit di Machang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang, dengan 10 pemborong tetap.

Katanya, sos yang dijual dengan harga RM3.50 sebotol bagi berat 340 gram itu turut mendapat permintaan pelanggan di Pahang, Terengganu dan Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, perniagaan saya semakin hari semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi terutama ketika pandemik Covid-19.

"Sos pencicah ini boleh bertahan dua tahun jika disimpan dengan baik,” katanya.

Kongsi ibu kepada sembilan cahaya mata itu lagi, paling manis sepanjang menceburi dunia perniagaan ialah dia menerima pengiktirafan Anugerah Usahawan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Terbaik Wilayah Timur pada Persidangan PEDiMadani tahun 2023.

"Saya juga menang naib johan Pertandingan Produk Industri Asas Tani bagi Kategori Sos Pencicah Cili Segar sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan pada 2022,” katanya.

Tambah Zainiza, bagi meluaskan perniagaan, dia turut menginovasi produknya dalam bentuk botol cenderamata seberat 150 gram yang sesuai diberikan kepada tetamu sempena program-program keraian.

Ditanya harapannya pada masa akan datang, wanita gigih itu berharap dapat memiliki sebuah mesin canggih bagi memudahkan proses mengisi sos ke dalam botol supaya lebih banyak produk dapat dihasilkan untuk dihantar ke lokasi jualan.