Konon bangga jadi orang bandar, tapi malam-malam mabuk bawah flat murah

Iklan
Isu gangguan bunyi bising dan menjerit-jerit di tengah malam oleh sekumpulan anak muda yang sedang mabuk minuman keras bukan perkara baharu di flat kos rendah sekitar Lembah Klang. Gambar hiasan 123rf

ISU gangguan bunyi bising dan menjerit-jerit di tengah malam oleh sekumpulan anak muda yang sedang mabuk minuman keras bukan perkara baharu di flat kos rendah sekitar Lembah Klang.

Mereka akan berkumpul di bawah flat dengan bercakap kuat sambil menyanyi-nyanyi sehingga awal pagi.

Iklan
Iklan

Mungkin tidak berlaku setiap hari namun kebiasaan aktiviti tidak sihat ini boleh dilihat pada malam minggu.

Merak Jalanan bersimpati dengan penghuni lain yang hanya mampu mengeluh di media sosial kerana menegur kumpulan pemabuk tidak akan membuahkan hasil.

Iklan

Jika ditegur, kumpulan anak muda itu akan membalas dengan kata herdikan, sindiran dan jeritan biadab kerana rasa tercabar.

Situasi ini menjadikan penghuni lain serba salah mahu terus menegur atau tidak, selain bimbang akan keselamatan mereka kerana pemabuk dalam situasi tertentu akan bertindak ganas.

Iklan

Penghuni hanya mampu menjerit ‘woi diamlah, orang nak tidur!’ dari dalam rumah masing-masing. Namun tetap tidak diendahkan.

Malah jeritan ini menjadi bahan ejekan kumpulan tersebut. Situasi di flat yang didiami golongan berpendapatan rendah ini jelas keruntuhan moral segelintir anak muda yang gagal menghormati komuniti sekeliling, walhal mereka cukup bangga dengan gelaran ‘orang bandar’.

Aduan kepada pihak polis pula seakan-akan tidak memberi kesan jangka panjang. Kerlipan cahaya biru lampu amaran dari kereta peronda polis hanya membuatkan kumpulan kaki mabuk ini lari lintang-pukang buat seketika.

Selepas kereta peronda itu beredar, mereka kembali berkumpul membuat bising.

Merak Jalanan harap tindakan segera dan kolektif diambil agar perilaku tidak bermoral ini dapat dihentikan sebelum ia membawa akibat lebih buruk.

Tidur malam bukan kemewahan tapi ia keperluan. Jangan biarkan keharmonian penduduk berbilang kaum di flat kos rendah terjejas gara-gara isu ini.