LIVERPOOL melebarkan status pendahulu selepas menewaskan Southampton, 3-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St Mary's pada Ahad.
Skuad kendalian Arne Slot yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di laman sendiri, 10 November lalu tampil dengan aksi positif.
Iklan
Iklan
Hasilnya Liverpool terlebih dulu meledak gol pembukaan dijelmakan pemain tengah dari Hungary, Dominik Szoboszlai pada minit ke-30.
Begitupun jaringan itu tidak kekal lama apabila penyerang The Saints, Adam Armstrong meledak gol penyamaan pada minit ke-42.
Beraksi pada babak kedua menyaksikan giliran The Saints memimpin perlawanan setelah Mateus Fernandes meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-56.
Liverpool yang tidak mengalah bangkit meningkatkan tekanan ke atas bahagian pertahanan Southampton yang akhirnya dijelmakan hasil sentuhan Mohamed Salah minit ke-65 sebelum menyempurnakan jaringan kedua peribadinya minit ke-83.
Kejayaan meraih tiga mata itu jelas menjadi motivasi buat Liverpool sebelum melayan kunjungan gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Anfield pada 28 November ini.