RUBEN Amorim menyingkap tugasan pertama sebagai pengendali baharu gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dengan membawa pulang satu mata dari Stadium Portman Road apabila diikat 1-1 ketika berdepan Ipswich Town.
Amorim, 39, pengendali muda berprofil tinggi direkrut dari kelab liga Portugal, Sporting Lisbon bagi menggantikan Erik ten Hag yang dipecat berikutan prestasi hambar pasukan.
Ten Hag sebelum ini dipecat Manchester United pada 28 Oktober lalu selepas kelab berpangkalan di Old Trafford itu menduduki tangga ke-14 selepas mengharungi sembilan perlawanan.
Bekas penyerang The Red Devils, Ruud van Nistelrooy yang dilantik pengendali sementara, berjaya meraih tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan, dengan membelasah Leicester City, 3-0, merupakan tugasan terakhir sebelum meninggalkan Manchester United sebaik kehadiran Amorim.
Di laman The Tractor Boys kendalian Kieran McKenna, 38, dikejutkan gol awal minit kedua daripada Marcus Rashford, 27, menyalakan permulaan meyakinkan Manchester United untuk mengekalkan rentak tiga mata ke atas kelab yang ditubuhkan 1878 sebelum berstatus profesional pada 1936.
Namun jaringan lencong daripada Omari Hutchinson, 21, pada minit ke-43 kemudian sudah cukup untuk menghadirkan keputusan seri keempat musim ini buat gergasi bola sepak England tersebut.
Red Devils sebelum itu menerusi deretan percubaan dijelmakan rangkaian jentera, Christian Eriksen (Denmark), Alejandro Garnacho (Argentina), Diogo Dalot (Portugal) dan Amad Diallo (Ivory Coast) seharusnya melebarkan lagi pendahuluan United, sebaliknya tersasar.
Cabaran Amorim seterusnya mengemudi Manchester United melayan kunjungan kelab liga Eliteserien Norway, FK Bodø/Glimt dalam saingan Liga Europa di Stadium Old Trafford pada 29 November ini.