Chandra ingatkan cucu beragama Islam jangan tinggal solat

Iklan
Chandra akan terus menjaga cucunya selagi usia masih ada.

SEREMBAN - Ketika mengambil tanggungjawab menjaga dua cucu kandungnya yang beragama Islam selepas mereka kematian ibu tiga tahun lalu, ramai yang meragui dengannya yang beragama Hindu.

Namun, V Chandra, 64, membuktikan berlainan agama bukanlah penghalang untuknya memastikan cucunya, Jasmine Hawa Abdul Nur, 18, dan Roselyn Aisyah Abdul Nur, 16, mendapat pendidikan Islam sewajarnya.

Iklan
Iklan
Chandra bersama Jasmine yang dijaganya walaupun berlainan agama.

Bukan setakat itu sahaja, warga emas terbabit juga tidak pernah lupa meminta masjid mengadakan majlis tahlil setiap tahun untuk ibu dua beradik berkenaan yang merupakan anak tunggalnya yang telah memeluk Islam.

"Masa mula-mula saya bawa mereka tinggal dengan saya, ada macam-macam cerita kerana orang risau saya beragama Hindu jaga cucu beragama Islam.

Iklan

"Malah dua cucu turut menerima kesannya apabila rakan-rakan di sekolah turut bertanya soal itu," katanya ditemui Sinar Harian di rumahnya di Senawang di sini pada Ahad.

Ujarnya, dia memahami soal ibadah dan gaya hidup orang Islam, malah amat menitikberatkan perkara berkenaan terutama mengenai solat dan makanan halal.

Iklan

Tambahnya, dia percaya sekiranya mereka menjaga semua itu, ia dapat menjadikan kehidupan mereka lebih baik.

"Saya selalu pesan walau macam mana pun jangan tinggal sembahyang lima waktu. Itu tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

"Soal makan pula tiada masalah kerana saya seorang 'vegetarian' dan jika mereka mahu makan ayam atau daging, saya akan pastikan ia dibeli di tempat sepatutnya," katanya.

Sinar Harian pada 2022 pernah melaporkan kisah Chandra menjaga dua cucunya selepas mereka kematian ibu akibat Covid-19.

Jasmine dan Roselyn tiada tempat lain boleh bergantung apabila bapa mereka yang merupakan warga Bangladesh terputus hubungan selepas berpisah dengan ibu mereka.

Dalam pada itu Chandra berkata, Jasmine akan menyambung pelajaran di Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada bulan depan manakala Roselyn Aisyah tinggal di asrama sebuah sekolah di daerah ini.

Katanya, selagi usianya masih ada, dia akan terus menjaga dua beradik itu sekali gus memastikan pendidikan terbaik dapat diberi demi masa mereka.

"Walaupun mereka Muslim, tapi tetap cucu dan darah daging saya sampai bila-bila. Saya sayangkan mereka," katanya.

Dalam pada itu Jasmine berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana neneknya sangat menjaganya dengan baik dalam semua perkara.

Katanya, dia sekalipun tidak pernah dihalang untuk solat malah sering diingatkan untuk menjaga tanggungjawab sebagai seorang beragama Islam.

"Setiap tahun juga nenek akan ambil upah orang masak makanan untuk dihantar ke masjid bagi tujuan diadakan majlis tahlil," katanya.

Zulkifli menerangkan kepada Chandra berkenaan tawaran menyambung pengajian Jasmine.

Sementara itu, Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed yang melawat keluarga itu berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Baitumal mengenai tawaran menyambung pelajaran diterima Jasmine.

Jelasnya, remaja itu layak menerima bantuan dan pihaknya akan membantu memudah cara urusan terbabit.

"Memang dari dahulu persatuan membantu keluarga ini memandangkan perbezaan agama antara cucu dan nenek.

"Kini sudah tiga tahun berlalu dan Chandra berjaya buktikan dia telah jaga cucu-cucunya dengan baik," katanya.