Akta 852 untuk tamatkan generasi perokok dan vaping

Iklan
Foto oleh Bin Thiều daripada Unsplash

Dalam usaha untuk meningkatkan kesihatan awam dan memastikan masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang, mulai 1 Oktober 2024, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] bersama Peraturan dan Perintah di bawahnya telah dikuatkuasakan sepenuhnya.

Akta 852 diperkenalkan untuk memperkukuhkan kawalan terhadap penjualan, pengiklanan, dan promosi semua produk-produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape di Malaysia. Khusus bagi orang belum dewasa (OBD) yang berumur kurang 18 tahun, mereka adalah dilarang terlibat dengan aktiviti penjualan, pembelian dan penggunaan apa-apa jenis produk merokok melalui apa-apa cara.

Iklan
Iklan

Akta ini merupakan langkah yang diambil bagi mengurangkan prevalen penggunaan produk merokok termasuk vape dalam kalangan rakyat Malaysia terutama melibatkan golongan anak-anak dan remaja. Selain itu, undang-undang ini juga bertujuan untuk melindungi masyarakat umum iaitu golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kadar merokok dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Iklan

Data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan sedikit penurunan bagi perokok konvensional dewasa daripada 21.3% pada tahun 2019 kepada 19% pada tahun 2023. Namun, bagi produk elektronik atau vape, terdapat peningkatan prevalen penggunaan produk tersebut dalam kalangan orang dewasa daripada 4.9% pada tahun 2019 kepada 5.8% pada tahun 2023.

Apa yang lebih membimbangkan, kajian NHMS dalam kalangan remaja pula melaporkan peningkatan yang ketara bagi pengguna vape iaitu daripada 9.8% pada tahun 2017 kepada 14.9% pada tahun 2022. Peningkatan populariti vape dalam kalangan remaja ini semestinya menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan kesihatan negara.

Iklan

Generasi penamat untuk masa depan

Foto oleh Kristaps Solims daripada Unsplash

Salah satu objektif utama akta ini ialah untuk melahirkan generasi muda yang bebas daripada ketagihan rokok dan vape.

Langkah ini dianggap penting kerana kajian menunjukkan bahawa merokok biasanya bermula pada usia muda dan kebanyakan perokok dewasa memulakan tabiat ini sebelum mencapai umur 18 tahun.

Oleh itu, dengan melarang akses kepada produk-produk tembakau dan vape untuk generasi muda, kerajaan berharap dapat mengurangkan kadar ketagihan terhadap produk-produk berbahaya ini pada masa hadapan.

Bahaya vape dan rokok

Bahaya merokok telah lama dibuktikan oleh sains. Merokok dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik termasuk penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan pelbagai jenis kanser termasuk kanser paru-paru. Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), merokok menyumbang kepada lebih daripada 8 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa vape juga boleh membahayakan kesihatan. Menghisap vape sering disalah anggap sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding merokok rokok konvensional. Tetapi pelbagai kajian terkini menunjukkan bahawa penggunaan vape boleh menyebabkan kecederaan paru-paru seperti penyakit e-Cigarette Or Vaping Product Use Associated Lung Injury (EVALI). Selain itu, pendedahan kepada nikotin dalam produk vape boleh menyebabkan ketagihan serta menjejaskan perkembangan otak dalam kalangan remaja.

Menghisap vape melibatkan aktiviti menyedut wap yang dihasilkan oleh cecair vape yang dipanaskan. Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA), menghisap vape boleh menyebabkan kerosakan serius kepada paru-paru. Cecair vape yang dipanaskan akan menyebabkan perubahan kepada struktur bahan kimia cecair vape tersebut dan menghasilkan wap yang mengandungi bahan-bahan yang berbahaya seperti volatile organic compound (VOC), formaldehyde, bahkan logam berat yang dapat memberi kesan kepada kesihatan pengguna vape.

Foto oleh Ruslan Alekso daripada Pexels

Impak positif Akta 852 terhadap kesihatan awam

Pelaksanaan Akta 852 dijangka memberi impak positif yang besar terhadap kesihatan awam. Dengan mengurangkan akses generasi muda kepada produk tembakau dan vape, negara dapat mengurangkan bilangan perokok baharu yang dilahirkan setiap tahun.

Langkah ini juga akan mengurangkan beban kos rawatan penyakit akibat penggunaan tembakau yang perlu ditanggung oleh kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM8.77 bilion dan rawatan penyakit EVALI sebanyak RM369 juta menjelang tahun 2030.

Dengan memperkenalkan zon larangan merokok yang lebih meluas seperti di kedai-kedai dobi dan tempat bekerja, akta ini akan turut melindungi orang awam daripada pendedahan kepada asap rokok secara tidak langsung di mana kesan asap atau wap rokok pasif ini boleh menyebabkan penyakit yang sama berbahaya seperti perokok aktif.

Foto oleh Mufid Majnun daripada Unsplash

Akta 852 adalah langkah penting dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan rokok dan vape. Usaha ini bukan sahaja melindungi kesihatan individu, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan produktif bagi seluruh masyarakat.

Oleh itu, para perokok yang ingin mendapat perkhidmatan berhenti merokok boleh melayari laman sesawang jomquit.moh.gov.my atau ke klinik-klinik kesihatan yang berhampiran.

Untuk maklumat lanjut tentang Akta 852, layari portal rasmi di sini.