SHAH ALAM - Seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 2 Disember ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, seramai 126,636 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian ujian berkenaan.
"Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan berlangsung," katanya pada Isnin.
SPM 2024 bakal bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, Ujian Amali Sains (9,10 dan 12 Disember); Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16,17,18, dan 19 Disember); Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (31 Disember) serta Peperiksaan Bertulis (2 Januari hingga 6 Februari 2025).
Menurut KPM lagi, calon perlu memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) segera sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan ditetapkan atau mana-mana yang berhampiran disebabkan bencana.
"Calon SPM boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN seluruh negara.
"Jadual waktu peperiksaan SPM 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang LP melalui pautan lp.moe.gov.my.
"KPM komited lakukan yang terbaik bagi memastikan SPM 2024 lancar dan teratur. Semoga semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera," ujar kementerian tersebut.