Keracunan makanan – ia boleh berlaku di mana-mana sahaja, daripada restoran mewah hingga ke warung tepi jalan. Walaupun nampak remeh, setiap tahun kes keracunan makanan terus meningkat dan kadang kala membawa maut.
Siapa sangka hidangan yang kelihatan enak dan menyelerakan mampu menyimpan ancaman senyap? Di Malaysia, kita sering mengamalkan kaedah ‘Lihat, Hidu, dan Rasa’ sebagai langkah awal untuk mengesan tanda-tanda makanan tercemar. Namun, adakah ini mencukupi?
Kita akan mengupas punca utama keracunan makanan serta meneroka langkah pencegahan yang dapat diambil untuk memastikan makanan yang kita makan benar-benar selamat.
‘Lihat, Hidu dan Rasa’
Pendekatan ‘Lihat, Hidu, dan Rasa’ sering digunakan oleh ramai orang sebagai langkah asas untuk menilai keselamatan makanan. Meskipun deria manusia tidak sempurna dalam mengesan bakteria seperti Salmonella atau E. coli, kaedah ini tetap mempunyai kelebihan sebagai langkah awal pencegahan.
Melalui pemerhatian teliti terhadap rupa, bau, dan rasa makanan, kita dapat mengesan beberapa tanda awal kerosakan yang mungkin tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Pendekatan ini boleh membantu pengguna mengelakkan makanan yang berpotensi tercemar, terutama dalam kes yang melibatkan kerosakan makanan yang jelas. Berikut adalah beberapa manfaat yang diakui:
- Tindakan cepat dalam menentukan kerosakan fizikal
Makanan yang telah basi atau rosak sering menunjukkan perubahan fizikal seperti warna yang berubah, tekstur berlendir, atau bau masam dan tengik. Melihat dan menghidu makanan dapat memberikan petunjuk awal ini tanpa perlu menggunakan peralatan canggih.
- Meningkatkan kesedaran terhadap kualiti makanan
Dengan mengamalkan ‘Lihat, Hidu, dan Rasa’, pengguna akan menjadi lebih berhati-hati terhadap kualiti makanan. Amalan ini membuat pengguna lebih sensitif terhadap perubahan kecil yang mungkin menandakan makanan itu sudah tidak selamat dimakan.
- Langkah awal yang mudah di akses dan praktikal
‘Lihat, Hidu dan Rasa’ merupakan cara paling mudah dan cepat untuk melakukan pemeriksaan asas pada makanan, terutamanya ketika membeli makanan daripada peniaga atau restoran yang mana pengguna tidak mempunyai kawalan langsung terhadap cara penyediaan makanan.
Walaupun ‘Lihat, Hidu, dan Rasa’ bukan kaedah yang sempurna untuk mengesan semua jenis bakteria atau patogen dalam makanan, ia adalah langkah asas yang praktikal dan boleh membantu mengurangkan risiko keracunan makanan.
Sebagai pencegahan awal, kaedah ini dapat membantu pengguna membuat penilaian segera dan mendorong mereka untuk lebih peka terhadap keselamatan makanan. Dalam kombinasi dengan langkah keselamatan makanan yang lain, ia mampu menjadi salah satu cara untuk menjaga kesihatan harian dengan lebih baik.
Faktor-Faktor Utama Punca Keracunan Makanan
- Penyimpanan makanan yang tidak betul – Makanan yang tidak disimpan pada suhu yang sesuai, seperti makanan mentah yang bercampur dengan makanan yang telah dimasak, akan meningkatkan risiko pencemaran.
- Kebersihan tangan – Bakteria dan virus mudah tersebar melalui tangan yang kotor semasa penyediaan makanan.
- Penggunaan peralatan yang tercemar – Papan pemotong dan pisau yang tidak dibersihkan selepas digunakan untuk makanan mentah boleh mencemari makanan lain.
- Cara memasak yang tidak sempurna – Memasak pada suhu yang rendah atau tidak cukup lama membolehkan bakteria berbahaya terus hidup dalam makanan.
Solusi dan langkah pencegahan
1. Patuhi Prinsip 4C dalam Keselamatan Makanan:
Clean (Bersihkan): Pastikan permukaan dapur, peralatan dan tangan dicuci dengan bersih sebelum menyentuh makanan.
Cook (Masak dengan sempurna): Masak makanan pada suhu yang betul untuk membunuh bakteria berbahaya, terutamanya daging dan makanan laut.
Chill (Simpan dengan baik): Simpan makanan di dalam peti sejuk atau suhu sejuk secepat mungkin selepas digunakan untuk mengelakkan pembiakan bakteria.
Cross-Contamination (Elak Pencemaran Silang): Pisahkan makanan mentah daripada makanan siap dimakan dan gunakan peralatan berasingan.
2. Pendidikan keselamatan makanan
Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan giat melaksanakan pelbagai kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan seperti Kempen Lihat, Hidu Rasa, Jom Baca Label dan Perhati dan Pilih bagi mempertingkatkan kesedaran pengguna dan peniaga makanan dalam mengutamakanan keselamatan makanan. Bahan pendidikan keselamatan makanan yang menarik dan mudah difahami juga boleh diakses dengan dengan melayari laman web rasmi https://hq.moh.gov.my/fsq/ dan laman sosial seperti Facebook, X , Instagram, Youtube dan Tiktok di bkkm_official.
Mengikut satu kajian tempatan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 70 peratus daripada insiden keracunan makanan boleh dielakkan jika peniaga dan pengguna lebih berpengetahuan dalam pengendalian makanan.
3. Inovasi teknologi dalam keselamatan makanan
Teknologi seperti alat pengesan bakteria mudah alih kini mula digunakan dalam industri makanan bagi mengesan bakteria pada tahap awal. Selain itu, penggunaan tarikh pengekodan yang lebih maju dapat membantu pengguna mengesan tahap kesegaran makanan dengan lebih tepat.
4. Kesedaran di peringkat individu
Pengguna disarankan untuk lebih berhati-hati apabila membeli makanan, terutama dari tempat yang tidak mengutamakan kebersihan. Bawa bekas makanan sendiri, elakkan membeli makanan yang dibiarkan di tempat terbuka, dan pilih kedai yang mengekalkan standard kebersihan yang baik.
Namun mengharapkan deria ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ semata-mata adalah tidak cukup dalam menentukan keselamatan makanan. Bakteria berbahaya boleh wujud tanpa sebarang perubahan pada rupa, bau, atau rasa makanan.
Oleh itu, langkah-langkah keselamatan yang lebih proaktif diperlukan di semua peringkat – dari penyediaan hingga penyimpanan makanan. Kesedaran individu bersama penyelidikan dan sokongan dari sektor kesihatan adalah kunci untuk mengurangkan risiko keracunan makanan.