BRASILIA - Virus misteri baharu dari asal-usul yang tidak diketahui yang muncul dari sebuah tasik di Brazil telah mencetuskan teka-teki kepada saintis.
Ia digelar sebagai Yaravirus sempena nama Yara, ikan duyung dengan kuasa ghaib yang memikat tentera untuk tinggal bersamanya di dasar laut.
Penyelidik mendapati lebih 90 peratus gen Yaravirus tidak pernah dilihat sebelum ini, sekali gus menjadikan ia 'misteri' dan unik sepenuhnya.
Penemuan itu dibuat di tengah-tengah penularan koronavirus (Covid-19) di seluruh China dan lebih 20 negara sejak ia pertama kali dikenal pasti pada Disember 2019.
Yaravirus didokumentasikan oleh saintis pada bulan lalu selepas menemuinya secara tidak sengaja di Tasik Pampulha, sebuah tasik buatan di bandar Belo Horizonte.
Urutan genom virus itu mendapati hanya enam daripada 74 gen pernah direkodkan sebelum ini manakala 68 lagi tidak pernah dilihat.
Kajian terhadap lebih 8,500 bahan genetik dari seluruh dunia dalam pangkalan data saintifik gagal memberi petunjuk tentang apa yang mempunyai kaitan dengan Yaravirus.
"Ia memperluaskan lagi pengetahuan kami tentang kepelbagaian DNA virus," kata pasukan pasukan yang diketuai penyelidik Federal University of Minas Gerais di Brazil.
Difahamkan, Yaravirus diambil daripada makhluk bersel tunggal digelar amoeba yang hidup dalam persekitaran lembap.
Buat masa ini, Yaravirus dikatakan tidak mendatangkan ancaman kepada manusia berikutan ia hanya boleh disebarkan antara amoeba.
Dua tahun lalu, dua anggota kanan pasukan itu, Bernard La Scola dari Aix-Marseille University di Perancis dan Jonatas S Abrahao dari Federal University of Minas Gerais turut menemui novel virus di dalam air digelar Tupanvirus yang dijumpai di dalam sebuah tasik di Brazil. - Agensi