JIM perkenal pas khas digital eSP

Iklan
Pelaksanaan eSP akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir berurusan di kaunter. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkenalkan pas khas dalam talian (eSP) bermula Januari tahun depan sebagai inisiatif mentransformasikan penyampaian perkhidmatan ke arah pendigitalan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, eSP merupakan dokumen yang dikeluarkan kepada warga asing bertujuan untuk memberi hak kepada pemegang masuk dan tinggal di Malaysia tidak melebihi 30 hari berdasarkan kepada peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Iklan
Iklan

"Pada tahun 2023, sebanyak 139,344 pas khas telah dikeluarkan, manakala setakat Oktober tahun ini, sebanyak 119,019 pas khas telah dikeluarkan kepada warga asing," katanya menerusi sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Isnin.

Menurutnya, urus niaga permohonan dan pengeluaran pas khas dilaksanakan secara manual dengan pemohon perlu hadir ke kaunter serta mengemukakan dokumen secara fizikal.

Iklan

"Memandangkan 50 peratus warga asing yang hadir ke pejabat JIM adalah untuk urusan menyelaras keberadaan di Malaysia, hal ini telah menyebabkan kesesakan di Bahagian Visa, Pas dan Permit.

"Pelaksanaan eSP ini akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir berurusan di kaunter serta menerapkan budaya kerja baharu," jelas beliau.

Iklan

Ujar Saifuddin, eSP merupakan platform permohonan pas khas secara dalam talian dalam menguruskan keberadaan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) yang masih sah.

"Mana-mana warganegara asing yang sedang menunggu keputusan untuk permohonan baharu atau lanjutan pertukaran PLS Jangka Panjang dan PLIK atau yang mengalami masalah seperti sakit, kemalangan jalan raya, bencana alam, berada di dalam situasi yang di luar kawalan pemohon serta lain-lain sebab yang difikirkan wajar dan munasabah boleh memohon kemudahan eSP ini," katanya.

Beliau menegaskan, meskipun proses permohonan dilakukan secara dalam talian, aspek keselamatan dan ketelusan tidak diabaikan.

"Pemohon perlu memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan mengikut dasar semasa yang berkuatkuasa.

"Mereka dikehendaki memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan untuk menyokong permohonan eSP mereka sebelum disemak dengan teliti oleh pegawai bagi memastikan hanya mereka benar-benar layak akan diberikan kemudahan eSP.

"Pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan atau tidak diluluskan, akan diarahkan untuk hadir ke pejabat JIM terdekat bagi pemeriksaan lanjut dan penjelasan berhubung status permohonan mereka," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menjelaskan Skim Perkhidmatan Imigresen (KP) sedang diperkemaskan.

Ia termasuklah peningkatan gred 54 Ketua Pengarah JIM kepada Jusa B yang kini dalam peringkat akhir.

"Ia diikuti dengan gred-gred yang lain seperti Jusa C. Begitu juga bilangan perjawatan bagi skim KP ini akan diperluaskan kepada jawatan strategik lain seperti jawatan pengarah negeri, pengarah bahagian dan Atase Imigresen," katanya.

Tambah Saifuddin, pihaknya juga sedang dalam proses untuk memohon perjawatan baharu yang terdiri daripada pelbagai gred dan skim bagi memenuhi keperluan di kaunter perkhidmatan, pintu masuk dan lain-lain tempat.

"Skim Bersepadu Imigresen dengan menggabungkan Skim Perkhidmatan Imigresen dan Skim Bersepadu Penolong Penguasa Imigresen serta Penguasa Imigresen dicadangkan untuk diwujudkan.

"Cadangan penambahbaikan ini adalah selaras dengan saranan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengatasi masalah integriti dan meningkatkan penyeliaan.

"Apabila ada ruang kerjaya lebih baik, motivasi diri akan meningkat dan secara tidak langsung mewujudkan keadaan keseronokan dalam bekerja, sekali gus akan memberi khidmat terbaik," katanya.