KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu akan menggerakkan dua pasukan Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri.
Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, sijil kelahiran anak dan kad pengenalan antara dokumen penting yang sering dilaporkan hilang ketika musim banjir.
Menurutnya, pasukan terdiri daripada 12 kakitangan jabatan itu akan membantu mangsa membuat permohonan dokumen ganti di PPS sebelum proses penggantian dibuat di pejabat JPN terdekat.
"Berdasarkan rekod JPN Terengganu, sebanyak 1,588 MyKad dilaporkan hilang dalam tempoh kemuncak musim tengkujuh iaitu bermula Disember hingga Januari disebabkan kes jenayah, kecuaian dan bencana termasuk banjir pada tahun lalu.
"Kecuaian merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,505 kes diikuti bencana merangkumi banjir dan kebakaran iaitu 46 kes manakala jenayah pula sebanyak 37 kes.
"Selain kad pengenalan, sijil kelahiran anak sering dilaporkan hilang setiap kali musim banjir. Jadi bagi kes bencana, tiada sebarang denda dikenakan terhadap mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Justeru, Mohamad Nasir berkata, pihaknya berharap agar semua individu yang menjumpai semula MyKad hilang setelah proses permohonan penggantian dibuat supaya menyerahkan dokumen itu di mana-mana kaunter JPN berhampiran.
"Ini kerana MyKad tersebut tidak lagi sah untuk digunakan," jelas beliau.