Tujuh kes berkaitan GISBH telah dituduh

Iklan
Tujuh daripada 12 kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Negeri Sembilan telah pun dituduh di mahkamah.Gambar hiasan

SEREMBAN - Tujuh daripada 12 kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Negeri Sembilan telah pun dituduh di mahkamah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, lima lagi kertas siasatan masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) juga telah mengambil tindakan penutupan terhadap dua madrasah di bawah pentadbiran syarikat berkenaan yang masing-masing terletak di Ulu Beting, Kuala Pilah dan Kampung Senama, Rembau.

Aminuddin Harun

"Tindakan penutupan bawah Seksyen 25C Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 telah dilaksanakan ke atas kedua-dua madrasah tersebut.

Iklan

"Empat orang yang disyaki iaitu pengerusi, mudir dan timbalan mudir madrasah juga telah ditahan," katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Isnin.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Bakri Sawir (PH- Klawang) berkenaan tindakan kerajaan negeri yang telah dan akan diambil untuk mencegah ajaran Aurad Muhammadiah.

Iklan

Aminuddin berkata, penahanan dan siasatan terhadap orang yang disyaki tersebut adalah di bawah Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 iaitu atas kesalahan menubuhkan, mengurus atau mengendalikan sekolah Islam tanpa perakuan pendaftar serta Sesyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019 iaitu perbuatan ataupun ajaran salah.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Negeri Sembilan juga telah mengambil tindakan berbincang dan membawa isu GISBH dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bilangan 27 Tahun 2024 pada September lalu.

"Berdasarkan hujah dan pandangan Ahli Majlis Jawatankuasa Fatwa tersebut bersetuju memutuskan ajaran yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali iaitu pemimpin GISBH adalah sama dengan ajaran al-Arqam dan Rufaqa mengenai Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan.

"Muzakarah juga menegaskan bahawa ajaran al-Arqam yang diwartakan sesat pada 2016 boleh dijadikan asas kepada penguatkuasaan ke atas sebarang usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam ataupun seumpamanya walaupun atas nama yang berlainan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Program Pemulihan Aqidah atau Rehabilitasi telah dilaksanakan bermula seawal 15 Oktober lalu kepada ahli GISBH yang sukarela menyertainya.

"Penyelaras program adalah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Sembilan. Modul yang akan digunakan disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JHEAINS bertanggungjawab sebagai urusetia pendaftaran," katanya.