[VIDEO] Sanusi dakwa wujud plot gagalkan pelaburan swasta di Kedah

Iklan

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat plot yang dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri ini.

Beliau mendakwa, syarikat yang melabur di Kedah diberikan tekanan untuk menarik diri daripada projek yang telah diumumkan.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu merujuk kepada keputusan peneraju pelaburan global Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi namun tidak mendedahkan butirannya.

"Saya tahu syarikat yang melabur di Kedah dikenakan pelbagai sekatan dan tekanan. Sebagai contoh, kes yang saya sebutkan semalam (projek Langkasuka).

Iklan

Sanusi berkata demikian ketika perbahasan hangat dengan Teh Swee Leong (DAP- Kota Darulaman) yang meminta penjelasan mengenai keputusan pelabur swasta menarik diri selepas projek diumumkan kerajaan negeri, termasuk projek Langkasuka, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Isnin.

Muhammad Sanusi (kiri), Swee Leong

Sanusi menjelaskan, kerajaan negeri sekadar membantu pelabur swasta dengan mengumumkan cadangan projek mereka di negeri ini.

Iklan

"Sudah berkali-kali diberikan penjelasan bahawa projek itu inisiatif swasta. Kami membantu syarikat swasta seperti syarikat tersenarai dengan mengumumkan projek mereka untuk bantu meningkatkan nilai saham mereka.

"Begitulah cara perniagaan berfungsi. Mereka minta bantuan untuk umumkan projek-projek itu, jadi kami umumkan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pengumuman projek juga penting untuk pembangunan projek dan keyakinan orang ramai.

"Sebelum kita buat sebarang pengumuman, syarikat swasta telah membuat pengiraan seperti KDNK, lokasi, nilai pelaburan, rakan usaha sama. Butiran projek syarikat yang sediakan dan kita umum sahaja,” ujarnya.

Sanusi berkata, sekiranya projek terlibat berhadapan masalah, bukan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memikul masalah tersebut, kerana ia adalah urusan perniagaan syarikat terlibat.

"Kami mahu projek itu jadi kenyataan. Itulah sebabnya kami bantu syarikat dengan umumkan projek mereka. Dalam dunia orang yang berniaga atau melabur puluhan juta, tak ada siapa nak rugi.

"Semua nak untung. Sama juga bila kita umumkan, kita mahu bantu syarikat terlibat berjaya dan syarikat tersebut dapat manfaat. Kalau tiba-tiba perniagaan itu mengalami masalah. bukan tanggungjawab kita untuk pikul masalah dia,” jelasnya.

Swee Leong sekali lagi mencelah dan menggesa kerajaan negeri untuk mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang betul untuk meneliti cadangan sektor swasta dan bukan hanya mengumumkan kepada orang ramai.

Sanusi sebaliknya tangkas membalas ‘serangan’ tersebut dengan membangkitkan kegagalan projek Persekutuan berkaitan keputusan pengeluar kenderaan elektrik (EV) Tesla menghentikan rancangan untuk melabur di Malaysia.

"PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah umumkan Tesla melabur (di Malaysia) tetapi tidak menjadi kenyataan. Mengapa anda tidak sebut yang itu?," soal beliau.

Swee Leong sekali lagi bangkit mempertahankan kenyataannya dengan menyatakan langkah Tesla itu tidak memberi kesan kepada negara berikutan ramai pelabur lain telah mengumumkan pelaburan baharu di negara ini.

Perbahasan terus hangat apabila Sanusi dengan pantas bangkit mematahkan hujah Swee Leong.

"Saya bercakap tentang Tesla kerana dia (Anwar) umumkan Tesla (pelaburan baharu). Pergi dan periksa di Kulim Hi-Tech Park berapa banyak kilang yang sedang dibina di sana, tetapi anda tidak sebut. Hanya cuba cari kesalahan, itu sahaja," kata Sanusi.

Awal bulan lalu, Anwar dilaporkan berkata, keputusan Tesla untuk membatalkan rancangan membina kilang EV di Malaysia, Thailand dan Indonesia disebabkan kerugian perniagaan dan persaingan dari China.

Media turut melaporkan bahawa Tesla menangguhkan rancangan untuk membina kilang di tiga negara Asia Tenggara untuk menumpukan perhatian kepada penubuhan stesen pengecasan.