SHAH ALAM - Lorong tikus serta laluan yang dikenal pasti digunakan sindiket penyeludupan dadah di negara ini berdekatan Sungai Golok akan dibanteras sepenuhnya bagi memerangi jenayah berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, seluruh elemen akan digerakkan bagi memastikan jenayah penyeludupan dadah ini dapat ditangani dengan berkesan.
Beliau berkata, arahan telah diberikan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk memastikan isu berkaitan penyeludupan dadah ini dijalankan tindakan dengan segera.
"Ini termasuk menfokuskan kepada semua laluan yang dikenal pasti menjadi lorong-lorong tikus bagi kegiatan penyeludupan dadah ini serta kawasan-kawasan yang menjadi titik panas dalam kegiatan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.
Katanya, kerjasama turut dijalinkan dengan pihak berkuasa jiran dalam memastikan kegiatan penyeludupan dadah ini ditangani dan dibanteras.
Terdahulu, media melaporkan, rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat wanita Kelantan, ditangkap di sebuah hotel di Sungai Golok, 1 November lalu kerana memiliki 6,000 pil kuda.
Tangkapan membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan berusia 25 hingga 32 tahun pada jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.