Miskin tegar di Pulau Pinang menurun kepada 519 keluarga

Iklan
Usaha dilaksanakan oleh pelbagai agensi menunjukkan hasil positif, di mana jumlah miskin tegar telah menurun kepada 519 KIR sehingga 25 November 2024. Gambar hiasan (Gambar kecil: Swee Khim)

GEORGE TOWN - Usaha untuk mengurangkan jumlah isi rumah miskin tegar akan terus dipergiatkan melalui pelbagai inisiatif di peringkat Pulau Pinang.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, isu kemiskinan tegar bergantung kepada faktor seperti keadaan ekonomi semasa dan kestabilan keluarga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu kemiskinan adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka seperti kehilangan ketua keluarga atau perubahan besar dalam situasi ekonomi boleh menyebabkan sesebuah keluarga jatuh ke dalam kategori ini.

"Sehingga 31 Oktober 2024, terdapat sebanyak 1,650 Ketua Isi Rumah (KIR) yang disenaraikan sebagai miskin tegar.

Iklan

"Namun, usaha yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi telah menunjukkan hasil yang positif, di mana jumlah ini telah menurun kepada 519 KIR sehingga 25 November 2024.

"Pencapaian ini adalah bukti bahawa inisiatif di peringkat negeri sedang berjalan dengan berkesan untuk membantu golongan yang memerlukan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Swee Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang berkata, kerajaan negeri terus bekerjasama erat dengan Jabatan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (ICU) bagi memastikan kekerapan bancian dijalankan dan sistem pengurusan data yang lebih teratur diwujudkan.

Jelasnya, objektif utama jalinan kerjasama itu adalah untuk memperluaskan inisiatif yang mampu mengurangkan kemiskinan tegar di negeri ini.

Tambahnya, sehingga kini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) sedang menyalurkan bantuan kepada 903 keluarga B40 yang layak dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM422,696.

"Untuk meningkatkan keberkesanan bantuan, kerajaan negeri telah menaikkan kadar bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPK) kepada RM322, berbanding kadar sebelumnya RM260 dan lebih tinggi daripada kadar PPK ICU sebanyak RM315.

"Langkah ini mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 dan diharapkan dapat memanfaatkan lebih banyak keluarga yang memerlukan,"katanya lagi.

Namun begitu, beliau berkata, masyarakat perlu sedar bantuan kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk menangani isu ini sepenuhnya malah sikap proaktif dari individu dan keluarga juga memainkan peranan penting dalam menangani isu kemiskinan.

Katanya, program pembangunan kapasiti yang ditawarkan oleh agensi-agensi perlu diterima dan dimanfaatkan oleh penerima bantuan untuk memastikan perubahan jangka panjang dalam kehidupan mereka.

"Kerajaan Pulau Pinang komited untuk terus berusaha dan bekerjasama dengan ICU serta agensi-agensi berkaitan untuk memastikan lebih banyak keluarga dapat dikeluarkan daripada kategori miskin tegar.

"Kami percaya bahawa dengan kerjasama semua pihak, golongan ini dapat dibantu dengan lebih berkesan untuk meningkatkan taraf hidup mereka," ujarnya.

Terdahulu dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Sobri Salleh (PN-Permatang Berangan) bertanya berapakah jumlah miskin tegar di Pulau Pinang yang telah berjaya ditamatkan pada 2023 dan apakah bantuan yang diberikan kerajan negeri bagi menyelesaikan masalaj berkenaan.