Mekanik terima upah RM140,000 jadi 'transporter' dadah

Iklan
Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas susulan tangkapan pasangan kekasih di sebuah rumah tumpangan di Sekinchan, Sabak Bernam pada 21 November lalu.

SHAH ALAM - Kehidupan mewah seorang mekanik yang dipercayai menerima upah RM140,000 bagi setiap penghantaran dadah terbongkar selepas ditahan bersama kekasihnya di sebuah rumah tumpangan di Sekinchan, Sabak Bernam pada 21 November lalu.

Suspek merupakan lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter' itu turut ditahan bersama sejumlah 94.723 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3.3 juta.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam kira-kira jam 5 petang di sebuah bilik di rumah tumpangan itu.

Antara dadah jenis syabu yang dirampas susulan tangkapan pasangan kekasih di sebuah rumah tumpangan di Sekinchan, Sabak Bernam pada 21 November lalu.

"Operasi berjaya memberkas pasangan kekasih yang merupakan lelaki tempatan berumur 31 tahun dan wanita warga Indonesia berumur 28 tahun serta merampas tiga peket plastik berisi syabu seberat 83.15 gram.

Iklan

"Serbuan itu kemudiannya membawa kepada pemeriksaan sebuah kereta jenis Honda Accord yang diletakkan di sebuah rumah di Sungai Air Tawar sebelum menemukan 91 bungkusan berisi syabu seberat 94.640 kilogram dalam but kereta berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Iklan

Katanya, siasatan mendapati suspek menjalankan kegiatan penyeludupan dadah ini sejak tiga bulan lalu.

"Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari utara tanah air sebelum dihantar ke Indonesia menggunakan jalan laut.

"Upah yang diberikan kepada suspek sebagai transporter dipercayai sebanyak RM140,000 bagi setiap satu penghantaran," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek lelaki memiliki tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Saringan awal dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek lelaki dipercayai telah berkahwin, mempunyai tiga anak dan bekerja sebagai mekanik serta suspek wanita masih bujang dan tidak bekerja," katanya.

Kok Chin berkata, kedua-dua suspek kini direman enam hari bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan.

"Polis turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan sindiket ini dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.