SHAH ALAM - Sebanyak 16 sarang penagihan dadah di Selangor dihapuskan dalam operasi berterusan bermula Januari sehingga Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sentiasa komited dan proaktif dalam memerangi dadah.
"Operasi berterusan dijalankan JSJN Selangor bermula Januari sehingga Oktober lalu berjyaa menghapuskan 16 sarang penagihan dadah menerusi Ops Sarang yang dijalankan.
"Sebanyak 553 serbuan dijalankan dengan tangkapan melibatkan seramai 2,136 individu terdiri daripada pengedar dan penagih dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, seramai 254 individu ditahan melibatkan kes bekalan dadah.
"Selain itu, tangkapan turut melibatkan 576 individu berkaitan kes pemilikan dadah, 776 individu ditahan kes saringan positif dan 504 individu ditahan melibatkan kes saringan positif berulang serta dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a)/39c Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Turut diambil tindakan melibatkan tindakan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK 1985) melibatkan tangkapan seramai 26 individu berkaitan sindiket pengedaran dadah," katanya.
Menurutnya, sepanjang Ops Sarang dijalankan JSJN Selangor berjaya merampas 3.072 kilogram (kg) heroin, Syabu (1.563 kg), Ganja (351 gram), daun ketum (6,800 gram) dan air ketum (9,900 mililiter).