KOTA BHARU - Polis Kelantan bimbang penyeludup mengambil peluang 'menggunakan' pelajar untuk menjalankan aktiviti haram mereka jika terus melalui laluan yang tidak diwartakan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang pemeriksaan terhadap pelajar yang memasuki sempadan Malaysia.
Iklan
Iklan
"Kita bimbang akan berlaku salah guna sindiket ke atas pelajar selain keselamatan mereka yang hanya menggunakan rakit serta tali untuk melintasi sungai," katanya pada Isnin.
Beliau memberitahu, berdasarkan kenyataannya baru-baru ini untuk melaksanakan penguatkuasaan secara total pada 1 Disember, satu mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Ahad membuat beberapa ketetapan khusus untuk pelajar.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah isu pelajar rakyat Malaysia yang tinggal di Thailand dengan memyediakan asrama atau tinggal di asrama sekolah lain yang berdekatan.
"Mereka juga boleh menyewa kediaman di kawasan berdekatan sekolah dan perlu melalui jalan yang diwartakan," katanya lagi.
Jelas beliau, setakat ini bilangan pelajar yang direkodkan ialah seramai 303 orang melibatkan 221 pelajar sekolah dari Kementerian Pendidikan dan 82 di bawah Yayasan Islam Kelantan.