'Royalti minyak bukan hak mutlak Terengganu'

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama. Gambar kecil: Muammar Qaddafi

KUALA TERENGGANU - Terengganu sejak dari awal tidak pernah mempunyai hak terhadap royalti minyak sebaliknya ia merupakan wang ehsan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi membantu rakyat di Terengganu.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir menjelaskan sama ada ia ditermakan sebagai royalti ataupun wang ehsan, kedua-keduanya adalah pemberian wang ehsan daripada Perdana Menteri berikutan minyak yang dijumpai di luar tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyebut 'Royalti merupakan hak negeri Terengganu dan mesti disalurkan mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975 di antara kerajaan negeri dan Petronas'.

"Akta Kemajuan Petroleum 1974 adalah mengenai penyerahan hak eksplorasi, eksploitasi dan carigali petroleum kepada Petronas.

Iklan

"Melalui akta ini, kerajaan negeri memberi hak eksplorasi dan carigali petroleum kepada Petronas manakala Perjanjian 1975 menyebut Petronas akan memberi bayaran tunai sekiranya minyak didapati di Negeri Terengganu.

"Terma 'Didapati di negeri...' itu memerlukan kepada penentuan had sempadan negeri manakala yang di luar sempadan negeri adalah milik kerajaan Persekutuan iaitu sehingga 200 batu nautika," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Muammar Qaddafi menambah, sempadan negeri tersebut boleh dilihat melalui Kanun Tanah Negara.

"Terma `limits of territorial waters’ pula boleh dirujuk melalui Ordinan Darurat 1969 (sebelum mansuh) dan Akta 750 (selepas mansuh) iaitu sempadan hak negeri adalah kawasan perairan yang tidak melebihi tiga batu nautika.

"Jadi tuntutan terhadap 'hak royalti minyak' Terengganu amatlah janggal dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975," jelasnya.

Dalam pada itu, Muammar Qaddafi berkata, royalti atau wang ehsan serta wang tunai petroleum hanya istilah yang digunakan dan tidak boleh menafikan bahawa kedudukan sebenar wang terbabit adalah sebagai wang ehsan kepada negeri Terengganu.

"Perkara ini disahkan sendiri oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang merupakan Menteri Kewangan sewaktu Perikatan Nasional (PN) mentadbir dan Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, yang mana beliau menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membayar royalti kepada mana-mana negeri di Semenanjung.

"Ini kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing," katanya.

Beliau menyatakan kerajaan Terengganu perlu menerima hakikat bahawa kawasan penemuan minyak itu bukan milik mereka serta hak yang dituntut itu bukan merupakan hak mereka.

"Mereka juga gagal untuk menjadikan ia hak mereka sewaktu pentadbiran selama 33 bulan oleh PN.

Sedangkan ketika itu bahawa Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang merupakan dari Pas tidak membawa Akta Wilayah Laut 2012 ke Parlimen untuk dimansuhkan.

"Jadi Ahmad Samsuri dan Pas khususnya perlu malu dengan tuntutan tuntutan yang dibuat. Ini kerana pengalaman sebagai pentadbir di peringkat persekutuan selama 33 bulan sepatutnya mendidik mereka menjadi lebih bijak dan pandai serta tahu membezakan antara hak dan ehsan," dakwanya.

Pada Ahad, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan kerajaan Persekutuan mengenakan sebarang sekatan terpilih berkaitan royalti minyak kepada Terengganu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan bantuan kepada negeri itu seperti apa yang dikenali sebagai Wang Ehsan sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih berkaitan royalti kepada negeri itu.

Dalam ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Khamis lepas, Ahmad Samsuri mendakwa segala urusan perbelanjaan negeri Terengganu berkaitan peruntukan royalti kini memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan mengikut 'case-by-case'.