BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menerima Anugerah Kecemerlangan Perbankan Islam Dunia yang diperkenalkan buat pertama kali di Forum Kepimpinan Muslim Dunia (WMLF) 2024 di London, United Kingdom (UK).
Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Tajuddin Atan berkata, pengiktirafan itu melambangkan komitmen dan dedikasi pasukan dalam menyediakan penyelesaian perbankan yang inovatif serta beretika.
Menurut beliau, ia selari dengan visi Bank Muamalat iaitu menjadi entiti bank islamik yang paling kukuh di negara ini.
"Kami memperkasa individu, menyokong perniagaan dan memajukan pembangunan mampan di Malaysia serta peringkat antarabangsa melalui perbankan patuh syariah.
”Anugerah ini juga bukti komitmen Bank Muamalat terhadap pemerkasaan komuniti. Kami berbesar hati menjadi peneraju prinsip perbankan beretika yang membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri bagi Orang Kurang Upaya, Kesihatan dan Pekerjaan UK, Sir Stephen Timms kepada Tajuddin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin di House of Lords, Palace of Westminster.
WMLF yang dianjurkan selama lebih satu dekad oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London menyediakan platform untuk perbincangan mengenai peranan kepimpinan Muslim dalam menangani cabaran global moden.
Difahamkan, forum berkenaan mengumpulkan pemimpin, pembuat dasar dan pakar industri untuk meneroka peluang inovasi, kerjasama serta perubahan positif dalam masyarakat, sekali gus merapatkan dunia Muslim dengan Barat.
Jawatankuasa pemilihan WMLF memberikan pengiktirafan tersebut kepada Bank Muamalat di atas kecemerlangannya dalam perniagaan, kepimpinan kewangan sosial dan komitmen terhadap pembangunan ekonomi melalui perbankan patuh Syariah yang inklusif.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan Bank Muamalat, pelanggan boleh melayari laman sesawang rasmi www.muamalat.com.my atau hubungi pusat khidmat pelanggan di 03-2600 5500.