SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes kematian seorang lelaki warga asing yang ditahan selepas melakukan kekecohan dan bertindak agresif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Sabtu lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota di Balai Polis MTB KLIA kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Katanya, tahanan itu disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Lelaki terbabit dalam perjalanan dari United Kingdom ke Phuket, Thailand dan melakukan transit di KLIA sebelum melakukan kacau ganggu serta bertindak agresif.
"Selain merosakkan barang milik balai polis, lelaki berkenaan juga mengakibatkan kecederaan terhadap dua anggota polis serta seorang anggota Polis Bantuan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, semasa dalam proses dokumentasi, lelaki itu tidak sedarkan diri sebelum polis mendapatkan bantuan pihak perubatan KLIA.
Menurut Hussein, lelaki berkenaan telah dirawat oleh doktor sebelum disahkan meninggal dunia.
"Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Ahad, namun punca kematian belum dikenal pasti dan memerlukan keputusan siasatan makmal.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman," ujarnya.
Tambahnya, siasatan dijalankan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan kepada koroner.
"Kes ini juga telah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebastatakelakuan Polis 2022 (Akta 839)," katanya.