Bekas Exco Perlis digugurkan tidak dipinggirkan - MB

Iklan
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli ke Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatankuasa Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bilik Hijau, Istana Arau pada Isnin. FOTO PEJABAT SUK PERLIS

ARAU - Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menjelaskan bekas Exco yang digugurkan tidak dipinggirkan sebaliknya pengalaman mereka diperlukan dalam membantu jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dibentuk oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, peranan bekas-bekas Exco masih diperlukan untuk membantu kerajaan negeri terutamanya dalam menarik kehadiran pelabur ke negeri ini.

Iklan
Iklan

"Kita tak pinggirkan sahabat-sahabat kita (bekas Exco). InsyaAllah mereka akan ada untuk membantu khususnya dalam portfolio saya lah iaitu pelaburan. Pengalaman mereka setahun dua tahun itu saya rasa akan banyak membantu.

"Sebab masih tak banyak lagi pelaburan yang masuk dan ramai anak muda memerlukan peluang pekerjaan di negeri Perlis,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatankuasa Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bilik Hijau, Istana Arau, di sini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke majlis tersebut.

Iklan

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail,barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain.

Jelas Mohd Shukri, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu ini akan terus menjalankan khidmat kepada rakyat serta pembangunan negeri bermula hari ini sehingga tamat penggal pada 2027.

"Dengan pasukan yang ada ini kita akan berkerja lebih mantap lagi seperti mana yang dikehendaki oleh Tuanku supaya kerajaan negeri lebih agresif lagi untuk membangunkan negeri sebab Perlis ini sebuah negeri yang kecil dan mudah diuruskan.

"Saya harap juga hubungan diantara kerajaan negeri khususnya Exco dengan Kerajaan Pusat akan lebih dekat lagi, lebih erat lagi untuk membawa balik dana demi pembangunan untuk rakyat,” katanya lagi.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan dua ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Perlis pada Isnin.

Mereka adalah ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak dan ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan.

Sementara itu, tiga ADUN yang diangkat menjadi Exco baharu adalah ADUN Guar Sanji dari Pas, Mohd Ridzuan Hashim dan dua wakil Bersatu iaitu ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dan ADUN Sena, Marzita Mansor.