KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menawarkan bimbingan keusahawanan berstruktur kepada 35 usahawan veteran B40 dalam Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 2024/2025 (PPUW).
Program yang diluncurkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari itu merupakan inisiatif yang julung kali dilaksanakan untuk memperkasakan pembangunan sosioekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata, program ini direka untuk membantu para veteran dan keluarga mereka mencapai kelestarian kewangan jangka panjang.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pertahanan dan LTAT bagi membina ekosistem yang lebih inklusif serta mampan khusus untuk veteran ATM.
"Ikhtiar ini adalah sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani yang menitikberatkan kesejahteraan holistik rakyat Malaysia khususnya kepada wira-wirawati negara selepas bersara.
Yang turut hadir Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Eksekutifnya, Mohammad Ashraf Md Radzi.
LTAT menjalankan kerjasama strategik dengan People Systems Consultancy (PSC), pakar latihan keusahawanan yang telah melatih lebih 100,000 peserta, dengan lebih 70 peratus berjaya meningkatkan pendapatan mereka di dalam jangka masa tiga bulan.
Sepanjang tempoh enam bulan, peserta akan mengikuti program pembangunan kapasiti yang komprehensif, merangkumi modul latihan keusahawanan bersepadu, sesi bimbingan mentor-mentee, pembelajaran dalam talian, dan penguasaan literasi kewangan.
Sementara itu, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, LTAT memandang serius terhadap mandat yang diamanahkan selaku sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk memperkukuhkan jaringan perlindungan sosioekonomi anggota ATM.
Di samping memastikan pemberian dividen yang mampan, katanya, komitmen LTAT diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi demi menyokong aspirasi Kementerian Pertahanan.
"Usaha ini merupakan manifestasi keikhlasan LTAT dalam memastikan masa depan yang lebih mampan bagi para pencarum," katanya.
Selain PPUW, inisiatif-inisiatif lain di bawah kerangka Ekonomi Madani dan agenda strategik GEAR-uP, termasuk program modul literasi kewangan, dan peluang penempatan kerjaya kedua melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), LTAT terus memainkan peranan penting dalam membentuk sistem sokongan yang komprehensif untuk komuniti ATM.
Ditubuhkan pada Ogos 1972 di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973, LTAT merupakan sebuah institusi badan berkanun yang menyediakan kemudahan Skim Simpanan Persaraan kepada para Pegawai dan anggota lain-lain pangkat ATM serta pesara tentera.