KOTA BHARU - Pengambilan balik tanah akibat perubahan jajaran Jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) Pengkalan Kubor, Tumpat dikenal pasti antara punca kelewatan projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, berikutan itu pihak kontraktor memohon lanjutan masa pada November 2023 dan diluluskan pada 30 Januari tahun ini dengan jumlah lanjutan masa selama 707 hari.
Menurut beliau, projek yang mula dilaksanakan pada April 2018 itu sepatutnya siap Ogos tahun ini.
Dr Izani memberitahu, bagi PLSB Sungai Golok Fasa 3 yang bernilai RM461 juta pula kini dalam proses reka bentuk terperinci dan kemajuan semasa ialah empat peratus.
Jelas beliau, kerja-kerja fizikal dijangka bermula Januari 2025.
Beliau turut memberitahu, PLSB Sungai Golok Fasa 2 masih di peringkat Lembaga Perolehan bagi Pra-Kelayakan Tender di peringkat kementerian.
Dalam pada itu, Dr Izani turut memaklumkan berhubung Pelan Mitigasi Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah menyediakan Pelan Induk Sistem Saliran Mesra (Pisma) bagi jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas.
"Pelan yang membabitkan jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Bachok, Jeli dan Tumpat itu akan diteruskan pada tahun depan," katanya lagi.
Jelas beliau lagi, Pisma boleh dijadikan rujukan utama dalam menyediakan pelan saliran yang lebih berkesan bagi mengawal banjir secara lokaliti.
"JPS juga sedang menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) untuk menyediakan pelan penstrukturan dan baik pulih sungai, sumber air dan mitigasi banjir," katanya.