Isu protes masjid di Sambhal: Angka korban meningkat kepada lima

Iklan
Laporan Sinar Harian.

NEW DELHI - Ketegangan tercetus di Sambhal, sebuah bandar di negeri Uttar Pradesh, India, pada Isnin selepas lima orang Islam terkorban akibat tembakan polis.

Keganasan meletus di Sambhal, yang majoriti penduduknya umat Islam, terletak 150 kilometer dari New Delhi, pada hari Ahad selepas pegawai kerajaan tiba pada waktu pagi di Masjid Shahi Jama yang berusia berabad-abad untuk menjalankan 'tinjauan' bagi menyiasat sama ada ia merupakan sebuah kuil.

Iklan
Iklan

Sebuah mahkamah tempatan mengarahkan 'tinjauan' itu sebagai respons kepada dakwaan seorang peguam yang mendakwa masjid itu dibina di atas runtuhan tapak Hindu.

Parti pembangkang di India mengutuk tembakan polis itu dan menyalahkan"politik kebencian" sebagai punca tercetusnya kontroversi agama yang baharu.

Iklan

"Pendekatan kerajaan negeri terhadap pertikaian mengejut di Sambhal adalah sangat tidak wajar. Cara pentadbiran bertindak terburu-buru dalam isu yang sangat sensitif ini tanpa mendengar pihak yang satu lagi dan tanpa mengambil kira kedua-dua pihak menunjukkan bahawa kerajaan sendiri yang merosakkan suasana," kata Priyanka Gandhi Vadra, seorang ahli parlimen dari parti Kongres, dalam hantaran di media sosial.

Tiga orang dilaporkan terkorban pada Ahad dan ramai yang cedera dalam tembakan dan serangan batu manakala bilangan kematian meningkat kepada lima pada Isnin.

Iklan

Ahli Parlimen Sambhal, Ziaur Rehman Barq berkata, bahawa seluruh kontroversi itu dirancang untuk mencetuskan masalah dan menyasarkan komuniti Islam.

Ahli parlimen parti Kongres dari Saharanpur, Imran Masood berkata, keganasan ini adalah sesuatu yang dirancang dan mengkritik tindakan polis.

Pemimpin Parti Samajwadi, Akhilesh Yadav berkata, usaha secara sengaja dilakukan untuk mengganggu keamanan dan keharmonian Sambhal atas nama"tinjauan" itu.

Tinjauan pertama di dalam masjid bersejarah yang besar itu dilakukan pada 19 Nov, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti Islam tempatan bahawa golongan radikal Hindu merancang untuk mengambil alih masjid berkenaan.

"Setelah tinjauan pertama dilakukan, kenapa yang kedua dibenarkan?" tanya Yadav, mengatakan bahawa keseluruhan proses itu berat sebelah kerana kebimbangan umat Islam diabaikan.

Terdapat pengawalan polis yang ketat di bandar itu dan perkhidmatan Internet digantung, kata seorang penduduk Sambhal kepada Bernama pada Isnin.

Pertubuhan pelampau Hindu sering membuat tuntutan terhadap masjid dan monumen bersejarah zaman Mughal, termasuk Taj Mahal, dengan mengisytiharkannya sebagai tapak Hindu purba.

Peguam Uttar Pradesh yang membuat petisyen kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Masjid Shahi Jama adalah sebuah 'kuil' terlibat dalam beberapa pertikaian agama di mahkamah.

Akta Tempat Ibadat, 1991 secara khusus menentang tuntutan dan pertikaian yang tidak berasas dengan peruntukannya untuk mengekalkan dan melindungi ciri-ciri agama tempat ibadah seperti yang wujud pada masa kemerdekaan India daripada penjajahan British pada 1947. - Bernama