Teruskan tuntutan pajakan Pulau Pinang RM100 juta - ADUN Belantek

Iklan
Ahmad

ALOR SETAR - Kerajaan negeri wajar meneruskan tuntutan bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Ahmad Sulaiman berkata, kadar tuntutan tersebut perlu seiring dengan situasi semasa kerana ia tidak pernah dinilai semula sejak 238 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah perlu dinaikkan mengikut tatacara undang-undang yang lengkap selain mengadakan satu perjanjian baharu yang lebih bertimbang rasa.

"Perjanjian baharu itu mungkin sebagai tambahan kepada perjanjian pokok (asas) yang dinyatakan selaras dengan Perkara 167 dan Perkara 169 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

"Royalti tambahan ini boleh digunakan untuk pembangunan sektor seperti pendidikan atau kesihatan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Kedah,” katanya ketika sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Isnin.

Ahmad berkata, nilai tuntutan tersebut adalah lebih munasabah berbanding bayaran royalti sebanyak RM10,000 setahun sejak tahun 1786 serta bayaran khas RM10 juta yang dibuat oleh Putrajaya sejak 2018.

Iklan

"Kita harapkan tuntutan dibuat ini adalah berteraskan sejarah dan fakta realiti sebenar," katanya.

Menurutnya lagi, jumlah RM100 juta masih boleh dianggap rendah kerana pihaknya yakin nilai pajakan sebenar adalah lebih tinggi sekiranya penilaian sebenar dilakukan.

"Kalau kita minta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta membuat penilaian terperinci nilainya boleh jadi sampai RM400 juta hingga RM500 juta, yang kita mohon tak banyak, mohon RM100 juta saja.

"Kalau dapat masukan RM100 juta ini dalam bajet negeri, bukan setakat RM2,000 bonus penjawat awam negeri dapat mungkin lebih daripada itu boleh bagi.

"Kita utamakan rakyat terlebih dahulu, kemudian penjawat awam, wakil rakyat belakang sekali pun tak apa," katanya.

Ahmad berkata, isu berkenaan turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum ini.

"Dimaklumkan Sultan Kedah, bahawa baginda sudah beberapa kali menyuarakan hal ini semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kepada Kerajaan Persekutuan, baginda juga telah membekalkan dokumen perjanjian berkaitan kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Pada Oktober 2021, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.